Pages

Friday, July 31, 2009

Ukhwah: Penjelasan Di Sebalik Nama

Penulis: Zaleha Bt Mohamad Saidin (4SKK)

Selamat membaca..

SEJURUS Rejab berlalu, kini Sya’aban pula menjelma dan itu bermakna kita semakin hampir dengan bulan Ramadhan yang mulia dan penuh dengan seribu satu ganjaran berlipat ganda. Rejab dan Sya’aban merupakan 2 bulan yang disunatkan berpuasa kecuali hari terakhir dalm bulan Sya’aban kerana ia merupakan tarikh penentuan awal Ramadhan. Oleh itu, seharusnya 2 bulan ini menjadi platform terbaik untuk kita semua menyediakan diri berlatih puasa dan menjernihkan hati bagi menyambut bulan Ramadhan yang penuh barakah. Maka, sinonimlah kita dengan majlis-majlis berbuka puasa atau iftar yang diadakan sama ada di surau-surau kolej mahupun sesama sahabat-sahabat terdekat di kafe-kafe terpilih.

Berbuka puasa bersama-sama sememangnya digalakkan. Sama ada kita sedar atau tidak, majlis iftar merupakan salah satu aktiviti yang dapat mengeratkan jalinan ukhuwah sesama umat islam. Apa yang lebih penting di sini adalah apakah sebenarnya persoalan ukhuwah tersebut? Pernahkan kita merenung peristiwa saat Rasullullah SAW mempersaudarakan Abdul Rahman Bin Auf dengan Sa’ad Bin Ar-Rabi? Ketika itu Saad berkata kepada Abdul Rahman:

“Aku termasuk orang Ansar yang mempunyai banyak harta kekayaan dan kekayaanku itu akan kubagi dua, separuh untuk kau dan separuh untukku. Aku juga mempunyai 2 orang isteri, lihatlah mana yang kau berkenan. Sebutkan namanya, ia akan aku segera kucerai dan sehabis masa iddahnya kau kupersilakan nikah dengannya.”.


Lihatlah bagaimana ikatan ini terjalin, padahal sebelum itu Saad dan Abdul Rahman terpisah dek jarak yang jauh; seorang di Mekah dan seorang lagi di Madinah. Inilah antara peristiwa menarik berkaitan indahnya ukhuwah yang terpupuk sesama mukmin semasa peristiwa hijrah Nabi dari Mekah ke Madinah.

Pada penglihatan mata kasar dan logik akal, pasti ada yang menyangkal perhubungan yang unik ini mampu diadaptasi dalam kehidupan sebenar. Namun, inilah kecantikan Islam yang menganjurkan erti ukhuwah dalam perhubungan sesama penganutnya. Ya, benar. Inilah hubungan yang diberi nama UKHUWAH Islamiyah, bukan sebuah jalinan yang biasa kerana ia berlandaskan kecintaan kepada Pencipta agung iaitu Allah SWT. Ukhuwah ialah satu rahsia Allah yang suci dan tidak tunduk kepada neraca manusia. Ia tidak memerlukan pengenalan atau pendahuluan kerana jiwa dan hati, dalam beberapa saat sahaja boleh dipenuhi dengan perasaan ukhuwah. Jaringan rahsia ini seakan-akan menguasai hati dua orang mukmin yang tidak pernah berkenalan sebelumnya. Dengan ikatan rahsia ini, mereka tiba-tiba bersaudara sehinggakan satu sama lain tidak sanggup berpisah dan tidak sabar menanti bertemu jika berjauhan. Dalam erti kata yang mudah, ukhuwah menyebabkan seorang mukmin sentiasa mahukan yang terbaik buat mukmin yang lain di samping mengharapkan saudaranya itu mendapat keredhaan Allah dan kebaikan di akhirat kelak.

Maksud ukhuwah menurut imam Hasan al-Banna ialah keterikatan hati dan jiwa satu sama lain dengan ikatan akidah yakni Islam. Ukhuwah bukanlah sesuatu yang boleh diada-adakan mahupun sesuatu yang boleh diwarisi tanpa memenuhi syarat-syaratnya yang tertentu. Hal ini kerana ukhuwah merupakan roh yang dihidupkan Allah dalam hati orang-orang beriman apabila Dia mengkehendaki agar mereka dekat dan bersatu. Ibn Abbas ra berkata bahawa kerabat rahim dapat diputus, dan budi dapat diingkari, tetapi jika Allah mempersatukan hati maka tidak dapat digoncangkan oleh apapun, kemudian ia membacakan maksud firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 63 seperti berikut;

…walaupun kamu membelanjakan semua kekayaan yang ada di bumi, nescaya kamu tidak akan dapat menyatukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha Perkasa, Mahabijaksana”

Menurut Hasan al-Banna lagi, terdapat 3 rukun ukhuwah iaitu ta’aruf, tafahum dan ta’awun. Ta’aruf bermaksud berkenal-kenalan bak kata orang kita, tak kenal maka tak cinta. Tafahum pula bermakna saling faham-memahami. Dalam erti kata lain, seorang mukmin mestilah memahami saudaranya yang lain. Abu Hurairah dari Nabi saw pernah bersabda yang berbunyi,


‘Barangsiapa menghilangkan kesusahan seorang Muslim, niscaya Allah akan menghilangkan satu kesusahannya di hari kiamat. Allah selalu menolong seorang hamba selama dia menolong saudaranya. ’.


Terakhir, ta’awun bermakna saling bantu membantu. Namun begitu, bantu membantu ini hanya terhad dalam hal kebaikan dan dalam usaha meninggalkan kemungkaran. Secara jelas, ukhuwah merupakan ikatan hati sesama orang mukmin yang diikat atas dasar akidah tauhid yang satu. Maka, ukhuwah Islamiyyah merupakan sifat yang mengiringi keimanan. Sebaliknya, ukhuwah yang dibina tanpa dasar keimanan hanya merupakan pertemuan dua pihak kerana kepentingan tertentu, saling bertukar budi serta hubungan yang dijalin tidak berkekalan.

Sahabat sekalian,

ukhuwah merupakan elemen penting dalam hal penyatuan umat Islam. Hanya dengan ukhuwahlah menjamin kebersamaan kita dalam menegakkan ad-deen dan menentang kemungkaran. Ketiadaan ukhuwah sesungguhnya merupakan kelemahan utama umat Islam pada hari ini. Masakan tidak kerana pepatah Melayu juga pernah menyebut, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Saat bumi Palestin dan saudara Muslim kita dibedil besar-besaran oleh rejim Zionis penghujung tahun 2008, apakah kita merasakan kesakitan tersebut bersama-sama mereka? Dan pabila orang Islam di selatan Thailand ditembak membabi-buta di dalam masjid mereka ketika melakukan solat berjemaah, mungkinkah kita merasa sama penganiayaan yang mereka alami itu? Cubalah tanyakan pada diri kita masing-masing, sebesar manakah parut luka yang berbekas dalam hati kita? Sesungguhnya Nabi saw pernah bersabda,

“Muslim itu ibarat sebuah jasad, jika satu anggota meras sakit maka sepanjang malam anggota yang lain akan turut berjaga malam menanngung kesakitan yang sama”.

Di sinilah sebenarnya kita menilai ukhuwah kita sesama mukmin. Biarpun umat Islam terpisah oleh ras bangsa, sempadan negara, bahasa pertuturan dan pertemuan semuka sekalipun, namun harus kita ingat Rasulullah telah menegaskan bahwasanya umat Islam ini bersaudara. Seharusnya andai sesuatu peristiwa perit menimpa saudara-saudara seakidah kita, patutlah kita merasa tempiasnya dan membantu sekadar yang mampu. Persaudaraan kita ini membawa kepada perjuangan yang satu yakni menegakkan Islam di atas muka bumi dan memastikan kemenangan Islam terhadap kaum kuffar terlaksana. Seandainya ukhuwah tidak terbina secara sempurna di antara kita, pastilah kita kalah dalam perjuangan ini.

Lantas, bagaimanakah kita sebagai mahasiswa dapat memupuk jalinan ukhuwah yang erat sekurang-kurangnya dalam lingkungan kampus UTM kita ini? Jawapannya tidak lain tidak bukan adalah melalui sistem tersusun yang dinamakan usrah dan halaqah. Peranan usrah dalam menyuburkan ukhuwah tidak dapat dipertikaikan lagi. Hal ini kerana sistem usrah mengumpulkan beberapa ahli, bertemu, menjalin silaturahim, saling nasihat-menasihati dan ingat-mengingati dalam perkara kebaikan yang semuanya berintikan kecintaan kepada Allah, bermatlamatkan Islam yang menyeru kepada kebaikan umat manusia di dunia dan akhirat. Bahkan, sistem usrah merupakan unit-unit asas dalam kita menyuburkan ukhuwah.

Sesungguhnya, sebagai salah seorang komuniti Muslim, kita semua mengharapkan agar bumi Palestin kembali kepangkuan umat Islam dan bersama juga kita berdoa agar ukhuwah kuat akan terjalin sesama Mukmin dan seterusnya menyatukan kita demi merampas semula Palestin dari Yahudi Zionis malahan bukan setakat itu umat Islam akan bersatu menegakkan perjuangan ad-deen bersama-sama.

Wallahu'alam

Friday, July 24, 2009

Bumi Palestin, Bumi Isra'

Oleh: Nurul Sa’adah Binti Yusof (4SMM)

Dalam sedar atau pun tidak, bulan Rejab hampir sahaja melabuhkan tirainya. Namun, berlalunya bulan Rejab tidak bermakna kita akan melupakan peristiwa Isra’ Mikraj yang mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat buat umat Islam yang berlaku pada 27 Rejab.

Apa yang dimaksudkan dengan Isra’ ialah perjalanan Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis seperti yang telah difirmankan di dalam surah al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud,

“Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat”.

(Surah al-Isra', 17:1)

Adapun Mikraj pula ialah peristiwa naik ke lapisan langit tertinggi di mana Rasulullah SAW telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil. Peristiwa ini hanya berlaku pada suatu malam sahaja di mana Rasulullah SAW mengenderai Buraq yang bergerak sepantas kilat. Ini merupakan tanda kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang tidak terjangkau oleh fikiran hamba-hambaNya.

Di dalam peristiwa agung inilah Rasulullah SAW telah melalui pelbagai perkara sepanjang perjalanan Isra’ Mikraj. Antaranya Rasulullah telah mengimami solat berjamaah bersama rasul dan nabi di Masjidil Aqsa. Selain itu Rasulullah diperlihatkan ganjaran bagi mereka yang beriman di syurga dan penyeksaan bagi mereka yang kufur.Seterusnya Rasulullah menerima kewajipan sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan. Bagi setiap perkara yg dilalui oleh Rasulullah, semuanya mengandungi ertinya yang tersendiri.Pernah atau tidak terlintas difikiran kita mengapa Rasulullah SAW perlu menempuh perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis sebelum di bawa naik ke langit? Kemudian Rasulullah berkesempatan solat berjemaah bersama rasul dan nabi sebelum kelahiran Baginda di Masjidil Aqsa. Ini membuktikan bahawa Baitulmaqdis bukanlah suatu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah. Ia juga mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat dan hubungan di antara para ambiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke dunia ini.

Bumi Palestin di mana terletak dalamnya Baitulmaqdis merupakan bumi para anbiya’ di mana telah banyak diturunkan sebahagian besar rasul dan nabi di sini bagi menjalankan tugas untuk menyeru umat manusia kepada mengesakan Allah dan juga mempunyai tanah yang subur. Selain itu Masjidil Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis merupakan qiblat pertama umat Islam sebelum berubah ke Masjidil Haram. Perkara ini tidak bermaksud untuk membiarkan atau mengabaikan Masjidil Aqsa tetapi ia sebagai satu ujian kepada umat Rasulullah SAW bahawa siapakah yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Selain itu sebagai lambang kebersamaan dan kesatuan umat Islam apabila qiblat umat Islam berpindah ke arah Kaabah di Masjidil Haram.

Dengan peristiwa Isra’ Mikraj ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa umat Islam harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan bumi Palestin dari sebarang pencerobohan dari luar dan dalam. Seperti yang kita ketahui sekarang, pihak Yahudi Zionis berusaha merampas tanah penduduk Palestin dengan menyatakan bahawa tanah tersebut milik mereka bagi memperluaskan jajahan mereka. Mereka bukan sahaja merampas hak milik penduduk Palestin malah hak kemanusian penduduk Palestin turut dicabuli. Pelbagai jalan mereka cuba lakukan demi mencapai segala impian mereka antaranya mengadakan pelbagai perjanjian dan rundingan damai yang mana kandungannya hanya menguntungkan pihak Yahudi Zionis sahaja. Mereka bukan sahaja bermain dengan politik malah menggunakan kekerasan dengan melakukan serangan dan pembunuhan secara terang-terangan tanpa sifat perikemanusiaan. Mereka juga bertindak mengawal media daripada memaklumkan kesengsraan yang terjadi di bumi Palestin sekarang dan ini dapat mengaburi mata kita bahawa bumi Palestin sekarang telah aman.

Bukan setakat agenda perampasan tanah dan peperangan ke atas penduduk Palestin yang mereka lakukan, malah mereka juga berusaha meruntuhkan Masjidil Aqsa yang mulia bagi membangunkan apa yang mereka dakwa (kononnya) Haykal Sulaiman sebagai rumah ibadat mereka. Untuk menjayakan agenda ini, pihak yahudi zionis telah menimbulkan kekeliruan ke seluruh dunia dengan menyatakan The Dome of The Rock atau Kubbatus Sakhra’ (kubah bewarna emas) sebagai bangunan utama Masjidil Aqsa. Sedangkan bangunan utamanya adalah yang berkubah hijau kekelabuan yang terletak di bahagian hadapan kawasan tanah Masjidil Aqsa. Kedudukan antara Kubbatus Sakhra’ dengan bangunan utama Masjidil Aqsa tidak jauh. Apabila umat Islam sendiri sukar untuk membezakan bangunan utama Masjidil Aqsa yang sebenarnya, maka semakin mudah tugas yahudi zionis untuk melaksanakan perancangan meruntuhkannya. Sekiranya terdapat pihak yang membangkang pembinaan (kononnya) Haykal Sulaiman, maka pihak yahudi zionis akan menyatakan The Dome of The Rock yang dianggap Masjidil Aqsa masih utuh berdiri dan mereka tidak berbuat apa-apa terhadapnya.

Apakah kita di sini hanya mendiamkan diri terhadap kekeliruan yang dilakukan oleh yahudi zionis terhadap Masjidil Aqsa yang merupakan masjid ketiga yang dimuliakan Allah selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah? Apakah kita sudah tidak mengambil berat perihal saudara kita di Palestin yang sering ditindas dan berjuang bermati-matian mempertahankan bumi yang Allah SWT telah muliakan apabila tidak lagi mendengar sebarang keganasan dan kezaliman yang berlaku?

Kewujudan sebuah 'Negara Yahudi' di tengah-tengah dunia Islam dan penaklukan Masjidil Aqsa adalah simbolik kelemahan umat Islam dan juga sikap orang-orang Islam yang menyimpang dari landasan Islam sambil mendabik dada dengan ideologi-ideologi asing lagi syirik yang ditanamkan oleh musuh-musuh Islam. Masjidil-Aqsa, Baitul-Maqdis dan bumi Palestin yang suci ini bukannya kepunyaan orang-orang Palestin atau Arab sahaja tetapi adalah hak setiap orang Islam. Hanya apabila umat Islam kembali kepada Islam dan melihat konflik ini dalam ertikatanya yang sebenar, bumi bertuah ini akan kembali dibebaskan sepertimana yang telah dilakukan pada kurun yang ke-12 oleh Salahuddin Al-Ayubi. Walaupun beliau bukan seorang Arab, akan tetapi beliau faham akan tanggungjawabnya dalam menangani persengketaan ketamadunan di antara Islam dan Barat, di antara Iman dan Kufur.

Jadi, adakah kita melihat peristiwa Isra’ Mikraj ini hanya sekadar perjalanan yang penuh keajaiban yang berlaku dalam kehidupan Rasulullah SAW tanpa mengambil kira kisah disebalik berlakunya peristiwa ini? Inilah antara hikmah Ilahi dalam peristiwa Isra’ Mikraj yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah bumi Palestin yang telah dinodai oleh tangan-tangan yahudi zionis. Ini meminta dari setiap Muslim supaya berusaha membersihkan bumi ini dari noda kecemaran yang telah melandanya. Sama ada dari usaha jangka masa pendek, seperti memberi bantuan kewangan, membuat kempen-kempen kesedaran dan lain-lain; mahupun usaha jangka masa panjang dengan mendidik ummah ini dengan didikan agama yang tulen. Bumi yang mulia lagi suci ini adalah sangat tinggi kepentingan dan keistimewaannya kepada seluruh ummah ini. Ingatlah kata-kata Salahuddin al-Ayubi menyatakan bahawa, “Siapa yang menguasai Palestin, dia menguasai dunia”. Wallahu’alam...

Thursday, July 16, 2009

Teaser Kem GenQ


Nantikan programnya. Daftarkan dengan naqib-naqibah yang berada di kolej masing-masing.

Monday, July 13, 2009

Majlis Sambutan Ahli Baru (MASAB '09)



Anda dijemput untuk hadir ke MASAB '09

Pendaftaran via SMS. Sila hubungi

0137144374-Siswa
0137003735-Siswi

Anjuran Bersama JKTK dan JPDP Kelab Iqra' UTM

Sunday, July 12, 2009

Warisan Atau Kefahaman?

oleh: Abdul Hadi Bin Abdul Wahab (3-SEB)

Assalamu’alaikum wbt

Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi diatas nikmat iamn dan Islam kepada kita semua. Dengan izinNya, kita baru sahaja melalui satu lagi semester di UTM sebagai seorang mahasiswa muslim yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada ajaran Islam yang sebenar. Kepulangan kita di UTM ini sudah semestinya dipenuhi dengan azam dan semangat yang lebih tinggi dalam menempuhi semester baru lebih-lebih lagi kita baru sahaja dibekalkan dengan kata-kata dorongan dan harapan yang tinggi dari ibu bapa tercinta yang inginkan kita membawa pulang segulung ijazah Walaubagaimanapun, kita harus ingat bahawa kehidupan kita di dunia yang sementara ini adalah untuk mengumpul bekalan sebanyak mungkin untuk kehidupan yang kekal abadi di akhirat kelak. Masa terus berlalu meninggalkan kita, namun betapa kita menghargai nikmat Islam yang telah dianugerahkan. Adakah Islam yang kita ada ini, sekadar “Agama Warisan” ataupun beramal dengan Kefahaman yang sahih?

Apabila kita bertanyakan kepada sahabat-sahabat kita, “bagaimana kamu bersolat?”. Ada yg akan menjawab, “Ustaz ajar begini dan begini” dan ada juga yang menjawab “Orang selalu buat begini,begini la”. Jarang-jarang yang menjawab, “Aku lakukan begini kerana Nabi lakukan begini.Ada hadith shahih menerangkan begini” Persoalan kepada kita umat Islam, adakah kita sekadar “Pak Turut” dalam beragama atau sebaliknya? Sejarah telah mengajar kita, akibat yang berlaku apabila terlalu ramai “Pak Turut” di dalam hal beragama. Ini menyebabkan mereka yang berpengaruh berani untuk mengubahsuai agama kepada bentuk yang mereka ingini,mengubah agama untuk kepentingan diri dan sebagainya. Saya tertarik dengan kata-kata Syeikh Saffiyur Rahman Al-Mubarakfuri, “Orang-orang musyrikin mengatakan bahawa mereka sebagai pengikut agama Nabi Ibrahim sama sekali tidak menjalankan perintah dan larangan yang berdasarkan syariat Nabi Ibrahim. Mereka mengabaikan kemuliaan-kemuliaan akhlak yang terdapat dalam syariat Nabi Ibrahim. Lantaran itu banyak kemaksiatan terjadi dikalangan para penyembah berhala, iaitu adat resam dan tradisi yang berbentuk khurafat.”(Ar-Rahiq Al-Makhtum,M/surat 39,terbitan YADIM)

Allah mengingatkan kita didalam surah Al-A’raf ayat ke 28
“Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji[532], mereka berkata: "Kami mendapati nenek moyang kami mengerjakan yang demikian itu, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya." Katakanlah: "Sesungguhnya Allah tidak menyuruh (mengerjakan) perbuatan yang keji." Mengapa kamu mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui?”

seperti: syirik, thawaf telanjang di sekeliling ka'bah dan sebagainya.

Ayat diatas diturunkan untuk menegur kaum arab jahiliyyah yang berthawaf di Baitullah Al-Haram dalam keadaan bertelanjang bagi yang lelaki dan berpakaian jarang bagi wanita seperti pakaian ketika mereka berada dirumah. (Rujuk Ar-Rahiq Al-Makhtum,Bab Agama orang Arab,m/surat 36). Mereka lakukan perbuatan yg sungguh pelik ini kerana amalan ini telah dilakukan oleh datuk nenek mereka dan menyangka ianya adalah perintah dari Allah dan berniat utk mendekatkan diri dengan Allah. Dan Allah menyuruh mereka utk berpakaian yg baik ketika hendak ke masjid. Hal ini dijelaskan menurut firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat ke 31 yang bermaksud:

“Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) mesjid[534]…”


[534] Maksudnya: tiap-tiap akan mengerjakan sembahyang atau thawaf keliling ka'bah atau ibadat-ibadat yang lain.

Dahulu, kita pernah mendengar berkaitan Mandi Bunga, Lenggang Perut, dan Memakaikan Tangkal pada bayi yang baru lahir. Bila kita tanyakan pada mereka,ada yg menjawab “Kami telah berdoa,tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku”,ada pula yg berkata “Orang lain buat benda ini juga,dan mereka dapat apa yang mereka minta itu”, dan “Bomoh kata benda ni bagus”. Amalan-amalan seperti ini semakin berkurang di telan zaman,namun masih ada segelintir manusia yang terus menerus mempercayai amalan-amalan ini. Ingatlah saudara-saudaraku,perkara-perkara sebegini boleh merosakkan aqidah seseorang itu kerana dia telah mempercayai pada benda lain selain Allah atau dalam kata lain MEREKA MEMPERSEKUTUKAN ALLAH!! Mereka juga tidak yakin pada Rahmat Allah. Semoga Allah menjauhi kita dari perkara-perkara sebegitu.

Islam mengajar kita supaya DOA, USAHA, TAWAKAL. Kita sudah buat semua itu?Jika kita doa tanpa usaha, kita akan putus asa pada Allah. Jika kita Usaha tanpa Doa dan Tawakal, kita akan kecewa dan tidak bersyukur. Jangan pula kita mudah berputus asa, dan berasa Allah tidak kabulkan doa.

Dari Abu Hurairah R.A.,ia berkata, Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda:
“Do’a seseorang hamba akan sentiasa dimakbulkan selama ia tidak berdo’a untuk berbuat dosa atau memutuskan silaturrahim, selama ia tidak meminta dengan isti’jal(tergesa-gesa)”

Sahabat bertanya, “Apakah itu isti’jal(tergesa-gesa) Ya Rasulullah?”

Rasulullah menjawab “Jika seseorang berkata : ‘Aku sudah berdo’a, memohon pada Allah, tetapi Allah belum mengabulkan do’aku’. Lalu dia berputus asa dan akhirnya meninggalkan do’anya itu”
[Hadith Shahih, Riwayat Imam Muslim IV/2096,no 2735(92)]

Wahai saudara seIslam, cakap orang ramai atau adat jangan jadikan ia sebagai 1 perkara dalam agama atau penentu kebenaran sesuatu amalan. Kadangkala, kita menyanjung orang ramai atau adat sehingga sama dengan agama,malah lebih teruk lagi,ada yang menganggap adat itu agama. Ingatlah pada pesan Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wassalam kita.

“Barangsiapa yang mengadakan sesuatu yang baru dalam urusan agama kami yang bukan berasal darinya, maka ianya(perbuatan itu) tertolak”
(Riwayat Al-Bukhari (Fathul Baari, V/301,no 2697, Riwayat Muslim no 1718. Melalui jalan periwayatan dari Aisyah R.A.)

Berdasarkan hadith diatas, Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam melarang kita membuat sesuatu amalan dalam urusan agama yang tidak pernah diajar oleh Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wassalam,tetapi jika mereka buat juga, maka amalan itu tertolak dan sia-sia. Inilah peri pentingnya kita memahami setiap tindakan dalam ibadah kita agar kita tidak melakukan perkara yang sia-sia dan kita dapat bezakan antara “ADAT” dan juga “IBADAT”, antara “SHAHIH” dan “BATHIL”. Diriwayatkan dari ‘Irbad bin Sariyyah dalam satu hadith yg panjang,Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam pernah bersabda,

Kamu semua hendaklah berpegang teguh dengan sunnahku (setelah Al-Quran) dan sunnah Khulafa’ Ar-Rasyidin yang mereka diberikan petunjuk,dan mereka sesudah mereka itu (para Tabi’in), berpeganglah kepada sunnah itu dan gigitlah dengan geraham kamu sekuat-kuatnya,serta jauhilah perbuatan baru(dalam agama),kerana setiap perbuatan baru itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat”

(Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Abu Daud,no 4607, At-Tirmidzi,no 2676,Hadith ini Shahih dari Al-‘Irbad Bin Sariyyah. Shahiih Mawaridizh Zham-aan,no 88, Shahiih Abi Dawud,no 3851)

Kita tinggalkan sebentar berkaitan isu bid’ah tetapi ketengahkan bagaimanakah kita hendak mengetahui sesuatu perkara itu memang berasal dari sunnah Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wassalam? Didalam hadith shahih Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam bersabda,

“Aku tinggalkan kepada kamu 2 perkara, kamu tidak sesekali akan sesat selama kamu berpegang kepada keduanya,iaitu kitab Allah(Al-Quran) dan sunnahku”

(Riwayat Imam Malik dalam Al-Muwattha’,Rujuk Program Maktabah Syarmilah, Kitab Muwattha’ Malik, no 1395, jilid 5,m/surat 371.Hadith ini shahih menurut penilaian Syeikh Nashiruddin Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadiits As-Shahihah, no 1761)

Wahai saudara sekalian, kembalilah kepada Islam yang sebenar seperti yang dibawa oleh Rasulullah Shalallahu ‘Alaihi Wassalam. Pastikan setiap ibadah yang kita lakukan mempunyai hujah dari Al-Quran dan Sunnah yang Shahih agar kita melakukannya dengan penuh kefahaman dan penghayatan. Jauhi sikap mengikut secara membuta tuli tanpa mengetahui dari mana datangnya amalan itu.

Wallahua’lam

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:
iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com
Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!