Pages

Sunday, March 22, 2009

Riadhah Ikhwah

Kejohanan Futsal Ikhwah

Pada 21 Mac 2009 lalu, Jabatan Kebajikan dan Tugas Khas (JKTK) telah menganjurkan riadah yang di namakan Kejohanan Futsal Ikhwah yang bertempat di gelanggang futsal Kolej Rahman Putra (KRP). Team ikhwah ini di bahagi mengikut kolej masing-masing antaranya ialah KRP, KP, KTHO, Mantan+SB – gabungan mantan dan Saki Baki kolej lain - dan pasukan jemputan dari SMK Taman Daya yang mengelarkan team mereka sebagai Walitahari. Malangnya team KTR menarik diri di saat-saat akhir kerana ada yang menduduki test pada masa itu. Kesemua mereka adalah pure mewakili team masing-masing.

Bersaing dalam perlawanan akhir...

Riadah yang bermula tepat pada pukul 8.30 pagi ini, dimulakan dengan taaruf dan pembahagian pasukan mengikut kumpulan. Kumpulan A terdiri daripada team daripada KTHO, KRP dan Walitahari manakala Kumpulan B daripada KP dan Mantan-SB.

Team KTHO yang mantap..!

Perlawanan bermula rancak sejak perlawanan pertama lagi antara Walitahari melawan KRP dan keputusan 2-0 berpihak kepada Walitahari. Nyata sokongan dan motivasi yang di berikan oleh pengurus Walitahari, Akhi Soleh di luar gelanggang menyuntik semangat anak-anak didiknya untuk terus berjuang. Perlawanan kedua antara KP dengan Mantan-SB pula begitu sengit. KP yang di ketuai oleh Akhi Ahmad begitu kerap melancarkan serangan-serangan ke gawang gol Mantan-SB dengan mendahului 3 gol di hadapan. Tetapi KP bernasib baik kerana kealpaan mereka tidak membawa keputusan sebaliknya dengan Mantan-SB mengejar 2 gol selepas itu. Pun begitu KP menang dengan 3-2.

Team KP yang kental!!!

Perlawanan antara KRP dan KTHO pula tampak agak sengit dengan kedua-dua belah pihak mempunyai kekuatan yang agak seimbang. KTHO dan KRP yang sudah terkenal dengan semangat juang yang tinggi ketika di atas padang memang tidak kenal erti putus asa. Serangan bertali arus kedua-dua pasukan membawa kepada keputusan 1-1. KTHO sekali lagi turun ke gelanggang bagi melengkapkan jadual Kumpulan A dengan membuat penghitungan antara Walitahari. Kegagalan KTHO untuk mendapat kemenangan pada perlawanan sebelum ini memberi momentum baru untuk menang menentang Walitahari.

Semangat juang yang ditunjukkan oleh pemain-pemain

Pujian harus di berikan kepada kedua-dua pasukan kerana saling serang menyerang dengan counter-attack mereka yang berkesan. Tetapi KTHO yang di ketuai oleh Bong jelas memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol dengan gol pada lewat permainan sekaligus keputusan KTHO menang 1-0.

Team Walitahari yang bersemangat

Selesai perlawanan peringkat kumpulan, pemain semua berehat seketika sambil menikmati makanan rohani yang di sampaikan oleh Akhi Baharin. Ibarat cucuran hujan yang jatuh ke tanah gersang. Mungkin itulah yang dapat diumpamakan dengan kata-kata dan peringatan daripada Badan Perunding Kelab Iqra’ ini megenai perlunya kita bersyukur dengan nikmat yang kita ada sekarang yang amat mendalam maksudnya. “Kita tidak menyangka kita main disini elok-elok, esok lusa kita dah tak ada”,katanya lembut. Pengisian di akhiri dengan hadis “mukmin yang kuat tubuh badan lebih di sayangi Allah berbanding mukmin yang lemah”.

Akhi Baharin memberikan sedikit peringatan ringkas

Sejurus selesai tazkirah ringkas tersebut, perlawanan peringkat kalah mati separuh akhir terus dimulakan. Separuh akhir 1 antara KP dengan Walitahari juga nyata sengit tetapi skuad muda Walitahari kuat mengasak kubu KP. Ketuanya yang berjersi 10, Haikal begitu lincah di gelanggang bersama rakan yang lain dan hasilnya mendapat gol pertama. Namun KP menyamakan kedudukan di minit terakhir pelawanan. Walitahari menang 3-1 melalui sepakan penalti. Separuh akhir 2 pula antara KTHO dan KRP. Keputusannya hampir sama dengan perlawanan sebelumnya cuma tiada gol di hasilkan oleh kedua-dua pasukan.KTHO menang juga 3-1 melalui penentuan penalti.

Pengadil yang adil... hehe

Perlawanan final antara KTHO dengan Walitahari menjadi perlawanan terakhir pada hari itu. Perlawanan yang jelas berat sebelah dengan Walitahari melancarkan serangan bertali arus ke kubu KTHO yang di kawal Fitri. Lonjakan semangat anak-anak muda ini nyata di terjemahkan denagn gawang gol KTHO diledaki gol demi gol. Mungkin ada faktor keletihan menyebabkan KTHO berputih mata kalah dengan jaringan 3-0 di tangan team jemputan dari SMK Taman Daya ini. Perlawanan tempat ketiga di batalkan kerana KRP menarik diri sekaligus tempat ketiga digondol oleh team KP. Perlawanan tamat tepat pada 11.30 pagi.

Rebatan kencang ke pintu gol..!

Apa pun keputusan, kalah atau menang tidak penting. Apa yang penting ukhuwah yang hendak dibina dan dijalinkan agar dapat kita hidup dalam suasana yang harmoni. Seperti dalam bait lagu Akrab Persahabatan nyanyian In-Team, ’Ukhuwah dan mahabbah kita jalinkan, bina keharmonian”... Diharap daripada program yang tidak formal ini mencapai objektifnya untuk kita menjadi muslim yang sihat tubuh badan sekaligus mensyukuri nikmatNya. Akhir kalam, majulah sukan untuk ummah..

Jumpa lagi riadah lain lagi nanti..!! Next riadah... Kejohanan Badminton Ikhwah?? Kita nantikan... Salam Ukhuwah...

Disediakan oleh Mohd Hafiz bin Mohd Noor
Pengarah Riadhah Ikhwah

Friday, March 20, 2009

Syumuliyah Islam: Manhaj

Oleh: Noorfitri Bin Adenan (2SHF)

Bismillahhirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, betapa bertuahnya kita hidup sebagai seorang Muslim dan masih diberi taufiq dan hidayah Allah SWT untuk melalui hidup kita sebagai hambaNya. Pada keluaran Sinar Iqra’ yang lalu kita telah menyentuh beberapa perkara penting tentang kesyumulan Islam dalam aspek zaman (masa), makan (tempat) dan insan (manusia). Semoga kita semua diberi kefahaman oleh Allah SWT untuk memahami risalah yang dibawa oleh RasuluLlah SAW iaitu Islam yang merupakan satu sistem cara hidup yang terbaik yang melengkapi dan merangkumi seluruh aspek dalam kehidupan.

Pembaca yang dirahmati Allah,

Kesyumulan Islam juga jelas terpancar daripada aspek manhaj (cara dan pendekatan). Al-Qur’an dan as-Sunnah merupakan sumber rujukan utama kita sebagai seorang Muslim. Al-Qur’an yang diturunkan merupakan panduan lengkap bagi orang beriman yang mencari keredhaan Allah. Tidak dapat dinafikan lagi betapa sempurna dan lengkapnya al-Qur’an sehinggakan ia terpelihara sehingga kiamat. Allah berfirman yang bermaksud:
“…pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu...”
(al-Ma’idah, 5:3)

Sebagai contoh yang mudah difahami, ramai di antara kita dengan jelas mengetahui bahawa solat itu tiang agama. Tahukah kita, sesebuah rumah tidak dapat dibina hanya dengan satu tiang sahaja? Bagaimana pula dengan tiang-tiang lain dan asasnya (tapak)? Adakah dengan asas dan tiang yang sedia ada boleh dikatakan sebuah rumah walaupun tidak mempunyai dinding dan bumbung? Sudah tentu tidak! Apa yang dikatakan sebuah rumah yang sempurna adalah ia mempunyai asas dan tiang yang kukuh, dinding yang mampu melindungi kita dari ancaman luar dan mempunyai bumbung yang menaungi dan memayungi kita dari hujan dan mempunyai kunci yang mampu membuka pintu tersebut.

Dari Mu’az RA katanya, RasuluLlah SAW bersabda:
“Kepala atau asas agama (yang aku bawa) ini ialah Islam (melafazkan dua kalimah syahadah yang mengesahkan ) dan (dengan itu) sesiapa yang telah Islam: selamatlah dia (dunia dan akhirat); dan (selain itu) tiang agama ialah sembahyang”
(HR. Tabrani)

Manakala hadis dari Jabir RA pula berkata RasuluLlah SAW bersabda: “Anak kunci syurga ialah sembahyang” (HR. Ahmad).

Apa kaitan contoh di atas dengan Islam yang syumul dari aspek manhaj? Begitulah indahnya Islam kerana lengkap daripada pelbagai aspek sehingga diibaratkan Islam ini seperti sebuah rumah yang sempurna yang mempunyai satu elemen asas dan empat elemen tiang yang kukuh, empat elemen dinding dan satu elemen bumbung. Kesemua elemen ini memainkan peranan yang penting dalam memastikan Islam terus memacu penduduk bumi ke arah keredhaan Allah SWT.

Sebuah hadith dari, Abdullah bin Umar al-Khattab RA, beliau telah berkata: Aku telah mendengar dari RasuluLlah SAW (bahawa) baginda bersabda:
"Islam dibina atas lima perkara: (1) Penyaksian bahawa tiada ilah (tuhan yang disembah) melainkan Allah, dan Muhammad adalah RasuluLlah, (2) mendirikan solat, (3) mengeluarkan zakat, (4) mengerjakan haji, dan (5) berpuasa (pada bulan) Ramadhan"
(HR. Bukhari & Muslim, juga hadith ke-3 Hadith 40 an-Nawawi)

Jika kita melihat Islam sebagai sebuah rumah yang mempunyai asas dan tiangnya, dapatlah diumpamakan bahawa Lailahaillallah Muhammadur RasuluLlah merupakan asas atau tapak kepada rumah tersebut. Jika asas ini cukup kukuh dan kuat maka bolehlah terbinanya tiang-tiangnya. Dalam konteks ini, rumah Islam tersebut terdiri daripada empat tiang yang utama iaitu solat, zakat, puasa dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Di dalam hadith yang ke-2 dari hadith 40 an-Nawawi, baginda SAW juga telah menerangkan tentang Iman dan Ihsan, yang mana keduanya memainkan peranan yang penting dalam menjadi penguat kepada asas dan tiang rumah Islam tersebut.

Walaubagaimanapun, adakah lengkap sebuah rumah yang hanya mempunyai tiang-tiang dan asas sahaja? Adakah cukup dengan kita hanya beramal dengan Islam dalam lima perkara tersebut sahaja? Betapa ramai umat Islam pada zaman ini, yang telah dirosakkan pemikiran mereka oleh orientalis barat melalui cara yang halus (peperangan pemikiran), sehingga mereka menganggap bahawa agama mereka telah sempurna dengan hanya melaksanakan lima perkara tersebut sahaja. Bahkan keyakinan ini menjadikan Islam seolah-olah yang ritual di tempat ibadat. Di manakah dinding-dinding yang akan memelihara perbendaharaan rumah? Di manakah bumbung yang akan memayungi dan menaungi ummah?

Jika kita melihat sirah Nabawi, Madinah menjadi sebuah contoh yang unggul dan terbaik di dalam penegakkan dinding-dinding di rumah Islam. Ia mampu menjadi panduan buat kita, seandainya kita benar-benar mengamati cara RasuluLlah melaksanakan Islam sebagai sebuah sistem. Di dalam konteks ini, dinding-dinding kepada rumah Islam tersebut adalah sistem-sistem di dalam Islam. Sistem-sistem ini bertujuan menjaga dan memelihara ummahnya dalam segala aspek yang perlu dijaga. Apakah sistem-sistem tersebut? Ia adalah sistem siyasi (politik), sistem iqtisadiyah (ekonomi), sistem ath-thaqafiyah (pengetahuan) dan sistem kemasyarakatan. Kesemua ini menjadi dinding yang memelihara ummah, dari kerosakan dan kehancuran, dan ia adalah syari’at yang diturunkan oleh Allah di kitabNya dan melalui RasulNya. Selain dari fungsi memelihara ummah, sistem-sistem ini juga memainkan peranan yang penting di dalam membawa Islam dan ummahnya ke arah kemajuan dan kemakmuran di dunia.

Pembaca yang dikasihi Allah,

Sungguh! Kita sudah mempunyai asas dan tiang, dan kita juga telah mengetahui dinding-dinding Islam. Namun, kita masih lagi terancam kepada hujan, panas dan pencerobohan jika rumah tersebut tidak mempunyai bumbung. Di sini, bumbung memainkan peranan yang amat penting dalam memastikan agar binaan rumah yang lengkap tadi terpelihara dan tetap teguh binaannya walaupun hujan lebat, ribut petir, panas yang melampau, pencerobohan dan sebagainya yang dapat memusnahkan rumah tersebut dari dalam. Apakah yang dimaksudkan dengan bumbung tersebut sehinggakan dikata amat penting dan dapat melindungi rumah tersebut? Tidak lain dan tidak bukan ia adalah sistem Jihad.

Apakah yang dimaksudkan dengan jihad? Al-Ustaz Hassan al-Banna telah menggambarkan jihad dalam bentuk yang mudah: ’Jihad adalah satu kefardhuan yang akan terus diwajibkan sehingga hari kiamat. Selain itu jihad juga ialah apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW:
"Orang yang mati tetapi tidak pernah berperang atau tidak pernah berniat untuk berperang dia mati dalam keadaan jahiliyah."
(HR. Muslim dan lain-lain)

Tahap pertama jihad ialah mengingkari dengan hati dan tahap yang paling tinggi ialah berperang di jalan Allah. Di antara dua tahap tadi ialah jihad dengan lidah, pena, tangan dan menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang kejam. Dakwah ini tidak akan bererti tanpa jihad. Sehebat mana dan seluas mana dakwah ini sehebat itulah juga jihad yang diperlukan dan sebesar itu jugalah pengorbanan yang diperlukan untuk menyokong dakwah ini. Namun ganjarannya juga besar untuk mereka yang berusaha. “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya” (Al-Hajj, 22:78).

Walaubagaiamanapun, kini kita sendiri telah membuang atap yang memayungi ummah dan juga dinding-dinding yang memelihara isi ummah. Telah tiada lagi mana-mana tempat yang benar-benar mengamalkan Islam secara syumul sebagai satu sistem yang hidup. Jika ada sekalipun, ia hanya dengan mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain, tidak secara syumul. Dalam keadaan seperti ini, bagaimana mungkin kita akan berada di puncak dunia? Lagi-lagi dalam keadaan yang kita selalu mencedok nilai-nilai dari barat dan musuh-musuh Islam untuk menuju ke arah kemajuan? Kita tidak akan mencapai kemajuan, apatah lagi mempertahankan ahli bangsa muslim itu sendiri...

Lihat sahaja bumi Palestin pada masa kini yang diratah dengan rakusnya oleh zionis laknatullah, siapakah akan mempertahankan tanah air Palestin dan tanah air Islam iaitu bumi Allah jika tidak kita, yang mengaku beriman yang bersaksikan bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah! Siapakah yang akan membina rumah itu semula jika tidak kita? Siapakah yang akan mengembalikan Islam sepertimana zaman kegemilangan Islam sewaktu pemerintahan Umayyah dan Abbasiyah jika tidak kita? Ayuh saudara-saudariku, bangunlah dan binalah asas yang kukuh dalam diri dengan memperbaiki diri dengan berhijrah menjadi insan generasi Al-Qur’an yang beriman dan berjihad serta mengamalkan ajaranNya. Kukuhkanlah asas di dalam dirimu, dan tegakkanlah tiang-tiang agama. Jadilah orang yang yang akan membawa Islam ke puncak dunia. Allah berfirman yang bermaksud:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta dan jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah. Mereka itulah orang -orang yang memperoleh kemenangan"
(at-Taubah,9:20)

Renung-renungkanlah wahai saudara dan saudariku...

Bengkel i-SMART

Kak Fatimah mengajar photoshop kepada semua.

Jabatan Penerbitan dan Penerangan (JPDP) di bawah naungan Kelab Iqra’ UTM telah menganjurkankan bengkel Islamic Multimedia and Art (I-SMART) pada 15 Mac 2009 bersamaan hari Ahad bertempat di Makmal Pengaturcaraan Komputer 1 (MPK1), Aras 5, N28 Fakulti Sains Komputer dan Sumber Maklumat (FSKSM). Program ini berbentuk bengkel pembelajaran Microsoft Office Publisher dan Adobe Photoshop yang telah disertai oleh seramai 43 peserta yang rata-ratanya adalah ahli Kelab Iqra’ sendiri.

Kehadiran peserta telah diterima seawal 8.00 pagi. Bermula 8.30 pagi, kaunter pendaftaran peserta telah dibuka. Setiap peserta yang mendaftar diberikan sebuah fail mengandungi tentatif program dan modul bengkel. Selain itu peserta juga dijamukan dengan nasi goreng sebagai sarapan pagi sebelum program bermula. Kehadiran peserta terus diterima sehingga jam menunjukkan 9.15 pagi. Majlis perasmian yang sepatutnya dimulakan pada tepat jam 9.00 pagi telah ditunda ke 9.20 pagi. Pengacara bertugas iaitu saudara ‘Asim Abdullah bin Ainullotfi membuka majlis dengan bacaan Ummul Kitab. Bacaan doa telah diketuai oleh saudara Mohamad Amir Imran bin Mohd Hasli yang juga selaku Pengarah Program. Kemudian, program pula telah dirasmikan oleh saudara ‘Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi selaku Presiden Kelab Iqra’ dengan meyampaikan sedikit ucapan perasmian. Di dalam ucapannya, beliau menyeru kepada peserta yang hadir untuk menggunakan dan mengaplikasikan ilmu yang diperolehi di dalam bengkel ini sebaik-baiknya.

Selepas acara perasmian selesai, bermulalah sesi bengkel pertama iaitu bengkel Microsoft Office Publisher. Sesi ini telah dikendalikan oleh saudari Nurul Sa’adah binti Yusof, pelajar tahun tiga Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) (3SMM). Slot ini berkisar kepada pemilihan template, fungsi dan penggunaan tool yang selalu digunakan dan kemahiran-kemahiran asas dalam perisian tersebut. Sesi ini berakhir sekitar jam 11.00 pagi. Peserta diberikan rehat sebentar sambil dihiburkan denga tayangan multimedia berkaitan program-program yang telah dianjurkan oleh Kelab Iqra’ sebelum ini.

Tepat jam 11.10 pagi, bengkel kedua dimulakan iaitu untuk Adobe Photoshop sesi pertama. Slot ini dikendalikan oleh saudari Siti Fatimah Binti Ahmad, pelajar Master Teknologi Pendidikan. Beliau telah mengajar peserta-peserta tentang fungsi setiap tool di dalam perisian dan membuat amali bersama peserta bagi menambah kefahaman mereka. Slot ini berakhir jam 1.00 petang bagi memberi laluan kepada santapan tengah hari dan solat Zohor.

Adobe Photoshop sesi kedua dimulakan pada jam 2.30 petang. Sesi ini lebih kepada aplikasi peserta terhadap ilmu yang diperolehi dalam sesi pertama sebelumnya. Para peserta telah diberi tugas oleh penceramah untuk mereka bentuk grafik sebuah poster untuk program Majlis Ilmu yang akan dianjurkan Kelab Iqra’ pada 21 Mac 2009 akan datang. Hal ini dapat menguji kefahaman peserta terhadap aplikasi perisian tersebut. Sebanyak lebih 25 poster telah berjaya dihasilkan oleh peserta-peserta program. Ini menunjukkan bahawa salah satu objektif program ini telah tercapai di mana peserta telah berjaya menguasai kemahiran dalam perisian Adobe Photoshop.

Sesi kedua ini diteruskan lagi dengan sesi kritik membina oleh penceramah terhadap poster-poster yang dihasilkan. Sedikit sebanyak para peserta didedahkan dengan tips-tips penghasilan poster yang menarik dan berkesan. Sesi ini telah tamat pada jam 5.15 petang. Kemudian diteruskan dengan penyampaian cenderahati dan penghargaan kepada dua orang penceramah untuk bengkel ini. Selain itu, pihak urusetia turut menyampaikan sijil-sijil penyertaan kepada peserta. Secara rasminya, program telah ditamatkan dengan bacaan doa penutup yang diketuai oleh pengarah program. Program selesai pada jam 5.30 petang.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya meningkatkan kemahiran penggunaan para peserta dalam perisian Microsoft Office Publisher dan Adobe Photoshop. Selain itu, program ini juga telah membentuk jalinan ukhuwah sesama peserta kerana mereka berkesempatan berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam melahirkan mahasiswa UTM yang mampu menjanakan idea inovatif dan kreatif dalam usaha menyampaikan ilmu dan mesej berguna kepada masyarakat.

Saturday, March 14, 2009

Islam: Deen yang Syumul

Oleh: Noorfitri Bin Adenan (2SHF)

Bismillahirrahmanirrahim,

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah SWT kerana kita masih diberi kesempatan dan peluang untuk menikmati nikmat Iman dan Islam, dua nikmat terbesar sebagai seorang Muslim. Selawat dan salam kepada RasuluLlah SAW, seorang manusia pilihan Allah SWT yang diberi amanah oleh Allah SWT untuk membawa suatu risalah penting iaitu Lailahaillallah MuhammadurRasuluLlah dan menjauhi taghut yang menjamin kesejahteraan dan keselamatan umat manusia di dunia dan akhirat. Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi seluruh alam"
(Al-Anbiya’:107)

Pada keluaran Sinar Iqra’ minggu lepas, telah diceritakan bagaimana RasuluLlah SAW mencapai kemenangan dengan menyebarkan Islam. Bermula dengan keluarganya, sahabat-sahabatnya, kaumnya, dan sehinggalah Islam berjaya ditegakkan sebagai sebuah sistem (negara Islam). Dari situ, kita telah mengetahui bahawa RasuluLlah SAW begitu bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang rasul, kerana Islam telah bermula sebagai satu entiti asing (gharib) dan ianya telah hilang ke”asing”annya ketika baginda wafat. Tetapi persoalannya, mengapa RasuluLlah SAW begitu bersungguh membawa risalah ini kepada seluruh warga arab pada ketika itu? Adakah kerana RasuluLlah ingin memegang tampuk kuasa dunia arab? Atau adakah baginda ingin menguasai pasaran dunia perdagangan? Atau adakah ada sebab-sebab yang lain?

Hal ini telah dijawab dengan nas-nas yang sangat baik daripada artikel minggu lepas dan kita telah melihat salah satu daripada sebab tersebut adalah RasuluLlah SAW meyakini dengan sebenar-benar keyakinan bahawa Islam yang diturunkan merupakan satu sistem yang terbaik untuk diamalkan di dalam kehidupan manusia. Kenapa? Kerana kesyumulan Islam itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan syumul? Ia adalah sifat Islam yang menyeluruh dan meliputi segala aspek kehidupan. Dengan datangnya Islam, maka lengkap dan sempurnalah petunjuk hidup kita sebagai manusia dan hamba Allah SWT sebagaimana firmanNya yang bermaksud:
"...pada hari ini Aku telah sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmatKu bagimu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu..."
(al-Ma’idah, 5:3)

Pembaca yang dirahmati Allah,

Apakah yang dikatakan dengan kesyumulan Islam? Setelah mengkaji dan menganalisa sirah RasuluLlah dan salafussoleh, kita mendapati bahawa Islam adalah syumul dari empat aspek iaitu Islam adalah syumul dari aspek zaman (masa), makan (tempat), insan (manusia) dan manhaj (metodologi).

Apakah yang dikatakan Islam itu syumul dari aspek zaman (masa)? Seperti yang kita tahu, Islam telah bermula sejak zaman Nabi Adam AS. sehinggalah disempurnakan Islam melalui RasuluLlah SAW walaupun di situ terdapat perbezaan dari segi syariat pada zaman rasul-rasul sebelum Muhammad SAW Allah telah berjanji untuk menyelamat dan memelihara sumbernya iaitu Al-Qur’an sehingga hari kiamat sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud:
"sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Qur’an, dan pasti Kami (pula) yang memeliharanya"
(al-Hijr, 15:9)

Di samping itu, Allah SWT memelihara Islam dengan memberi jaminan untuk memelihara RasuluLlah SAW daripada dosa (maksum). Ini adalah kerana segala keperibadian, akhlaq dan kata-katanya adalah berdasarkan wahyu Allah SWT yang bermaksud:
"Dan tidaklah yang diucapkannya itu (Al-Qur’an) menurut keinginannya. Tidak lain(Al-Qur’an itu) adalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya)"
(an-Najm, 53:3-4)

Jelaslah di sini bahawa Islam adalah sesuai dengan setiap zaman dan ia tidak berubah walaupun zaman berubah semenjak Nabi Adam AS sehinggalah RasuluLlah SAW. Dalam erti kata lain, sejak Nabi Adam AS sehingga RasuluLlah, Islam tetap tertegak dan berdiri dengan asas aqidah yang sama iaitu LailahaillaLlah. Hanyasanya, syariat Islam telah disempurnakan pada zaman RasuluLlah SAW dan ianya bersumberkan al-Qur’an dan as-Sunnah.

Pembaca yang dikasihi Allah sekalian,

Kita dapat melihat dan merasai bahawa Islam juga syumul dari segi makan (tempat). Allah berfirman di dalam surah yang bermaksud:
"Dan demikianlah kami wahyukan al-Qur’an kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibu kota (Makkah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang hari kumpul(kiamat) yang tidak diragukan adanya..."
(as-Syura,42:7)

Al-Qur’an yang diturunkan dalam bahasa Arab di bumi Makkah dan Madinah bukanlah semata-mata untuk orang Arab yang berada di Makkah sahaja, namun apa yang diterangkan pada ayat tersebut setelah itu; “penduduk di sekelilingnya” adalah merujuk kepada orang-orang yang berada di luar dari bumi Makkah, misalnya di benua Asia, Eropah dan lain-lain. Ia menunjukkan bahawa Islam ini tidak sempadan dan tidak dibatasi oleh faktor bentuk muka bumi dan sempadan sesebuah negara atau tempat. Islam boleh diamalkan di mana sahaja meskipun kita berada di bumi Arab, di padang pasir Sahara malah di angkasa lepas sekalipun, kita tetap perlu melaksanakan Islam.

Kesyumulan Islam juga jelas dari aspek insan (manusia) sendiri yang mana ia menekankan aspek hubungan sesama manusia. Islam tidak pernah membezakan manusia mengikut darjat seseorang, jantina, bangsa, etnik, warna kulit, harta, pengaruh dan sebagainya. Malah, Islam amat menggalakkan kita saling berta’ruf (kenal-mengenali), bermasyarakat dan bergaul antara satu sama lain dalam batasan syariat Islam yang ditetapkan. Tujuan kita saling kenal-mengenali antara satu sama lain tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah kerana Allah SWT dan mendapatkan keredhaanNya;
"Wahai manusia! Sungguh, kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti"
(al-Hujurat, 49:13)

Apabila kita saling kenal-mengenal kita diperintahkan agar memelihara hubungan tersebut sesama kita dengan berpegang teguh pada Islam sebagai pegangan Iman dan cara hidup yang dapat menyelamatkan kita dari api neraka sebagaimana dalam firman Allah yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan, lalu Allah mempersatukan hatimu, sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi saudara, sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana. Demikianlah, Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu mendapat petunjuk"
(Ali-Imran, 3:103)

Di samping itu, seluruh kehidupan kita sebagai seorang Muslim merupakan satu ibadah yang mana ia bermula daripada kita hidup sehingga kita kembali mengadap Allah SWT Bermula sejak kita baru lahir, disunatkan azan dan iqamat ditelinga, disusui sehingga bayi berumur dua tahun, diajar pula tentang Iman, Aqidah, soal masyarakat dan negara malah sekecil-kecil perkara seperti adab ke tandas dan adab memasuki rumah juga telah diajar oleh Islam. Seluruh aspek kehidupan kita jika dilihat dari sudut yang luas kita mengetahui bahawa Islam bukan sekadar meliputi kehidupan manusia bermula dari bangun tidur tidur semula malah ia merangkumi seluruh kehidupan kita bermulanya kita berada dalam kandungan perut ibu kita, menjadi bayi seterusnya sehingga kita mengadap Ilahi. Jelaslah di sini, Islam adalah satu sistem cara hidup yang mampu memberi kesejahteraan kepada semua dengan syarat bahawa segala hubungan sesama manusia dan perbuatan kita didasari oleh keimanan dan ketaqwaan dengan berlandaskan Al-Qur’an.

Saudara saudariku yang dirahmati Allah,

Dapat kita simpulkan bahawa, Islam merupakan satu sistem cara hidup yang terbaik yang merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Tidak mungkin apa yang dibawa oleh RasuluLlah SAW ini merupakan satu perkara yang sia-sia dan tidak mempunyai makna sedangkan baginda telah memerah keringat dan peluhnya untuk ummah yang dicintai. Baginda telah melakukannya hanya kerana Allah dan demi kesejahteraan seluruh alam kerana Islam adalah satu sistem cara hidup yang sempurna. Dapat kita ketahui di sini bahawa kesyumulan Islam terdiri dari pelbagai aspek seperti zaman (masa), makan (tempat), dan insan (manusia) yang membawa kepada kesejahteraan hidup.

Oleh itu menjadi kewajipan kita sebagai orang yang beriman untuk mengaplikasikan keseluruhan hidup di bawah naungan Islam dan bukan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian lainnya. Allah dengan jelas telah menyeru kepada mereka yang mempunyai keimanan di dalam hati mereka:
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagi kamu"
(al-Baqarah, 2:208)

Namun bagaimana pula yang dikatakan Islam itu syumul dari aspek manhaj (metodologi)? InsyaALLAH sama-samalah kita ikuti keluaran Sinar Iqra’ akan datang.

Bengkel I-SMART

i-SMART '09
(Bengkel Islamic And Multimedia Art)

Tempat:
N28, aras 5, MPK1.

Anjuran:
Jabatan Penerbitan dan Penerangan (JPDP)
Kelab Iqra' UTM


Aktiviti:
Latihan dan amali Adobe Photoshop
Latihan dan amali Microsoft Publisher

"Seni bukan sekadar seni, seni itu wasilah tarbiyyah"

Tafaddhal Masykuraa =)

Untuk maklumat lanjut, hubungi:
0137144374 - Amir Imran
0137005719- Nurul Sa'adah

Di Sekitar Karnival Sukan Iqra'

Pada 1 Mac 2009, Jabatan Kebajikan dan Tugas-Tugas Khas (JKTK), jabatan dalam Kelab Iqra’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Alhamdulillah telah berjaya menganjurkan Karnival Sukan Iqra’ 2009 (KSI’09) bertempat di padang Kolej Rahman Putra (KRP). Maka pada hari itu terciptalah sejarah, ahli keluarga Kelab Iqra’ (KI) yang duduk berjauhan kolej dan fakulti berkumpul untuk melepaskan kerinduan masing-masing. Objektif KSI ini adalah untuk merapatkan ukhuwah antara ahli di samping supaya ahli KI sihat selalu. Program ini telah disertai kira-kira 105 orang yang majoritinya terdiri dari ahli Kelab Iqra’ sendiri dan selebihnya ialah ahli Sekteriat Islam yang lain.

Peserta akhawat sedang membuat pendaftaran.

Pada pagi hari, sewaktu ahli beransur-ansur tiba di lokasi, kelihatan keceriaan terpancar di wajah setiap orang. Pada waktu yang sama juga, ahli jawatankuasa (AJK) program telah sibuk menjalankan tugas seperti menyediakan makanan dan peralatan permainan yang dirancang untuk KSI’09. Kaunter pendaftaran dan kaunter penyerahan baju KSI’09 mejadi tumpuan peserta yang hadir. Ahli yang telah mendaftar diberikan sarapan bersama air teh dan juga ‘door gift’ berbentuk sticker KSI’09. Selepas menikmati sarapan pagi, ahli diperuntukkan masa untuk menukar baju KSI’09 yang telah dibeli.

KSI pada kali ini bertemakan lavender. Selepas proses pendaftaran, padang KRP yang sebelum ini nampak hijau kelihatan seperti ladang lavender yang tidak pernah tumbuh hanya sebatang. Seperti Kelab Iqra’ juga, ahli Kelab Iqra’ seperti sudah satu keluarga, yang tidak pernah keseorangan, sekiranya ada masalah, mesti ada yang dapat me'topup'kan.

Ustaz Nasir memberikan sepatah dua kata kepada KI.

Majlis KSI ini dirasmikan oleh Ustaz Mohd Nasir bin Masroom, dalam ucapan perasmiannya, Ustaz Nasir menyeru supaya ahli bijak menguruskan masa agar diri seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Setelah selesainya majlis perasmian, ikhwah menuju ke padang futsal manakala akhawat menuju ke padang bola jaring. Perlawanan futsal dan bola jaring dijalankan serentak antara pasukan yang dibentuk sewaktu pendaftaran. Pada waktu itu, maka keluarlah peluh-peluh peserta yang sudah lama terperangkap dalam badan(freedom!!).

Sekumpulan ikhwah sebelum acara larian kaki berikat.

Program diteruskan dengan aktiviti sukaneka; antaranya berjalan di atas kotak, berlari dengan kaki berikat tali, sedut air menggunakan straw panjang, galah panjang dan baling belon menggunakan plastik hitam. Di waktu, ketika dan masa inilah macam-macam gelangat dapat kita lihat.

Para peserta yang hebat beraksi dalam perlawanan futsal.

Bagi permainan sedut air menggunakan straw panjang, setiap pasukan diberikan 4 batang straw. Sebelum menyedut air tersebut, ahli kumpulan perlu berjalan berpasangan(kaki diikat bersama) menuju ke arah botol air tersebut seperti ulat bulu. Apabila sampai ke destinasi, air dalam botol perlu dikosongkan dengan menggunakan batang straw yang dicantum empat straw. Sewaktu menyedutnya, ya ALLAH, hanya diriMU sahaja yang tahu, bertapa susahnya hendak menyedut air tersebut. Bukannya air yang dapat disedut, tapi udara pulak yang dapat. Perut jadi kembung dengan angin. Dalam permainan ini, ia mengajar kita supaya mensyukuri nikmat air.

Bagi permainan berjalan di atas kotak, setiap peserta perlu berjalan di atas kepingan kotak yang sebesar tapak kaki, tanpa menjejakkan kaki ke tanah dan menuju ke kumpulan yang di hadapan. Nampak seperti mudah, tetapi sebenarnya tidak. Ia memerlukan kepintaran setiap peserta untuk memikirkan bagaimana hendak menuju kehadapan dengan mengharapkan pada 3 keping kotak sahaja. Dalam kehidupan harian kita, pelbagai dugaan yang ALLAH berikan. Dalam permainan ini, ia ibarat mengingatkan kita agar hati-hati dalam setiap langkah kehidupan.

Bagi permainan baling belon menggunakan plastik hitam, setiap peserta disusun berbaris secara berpasangan dan memegang plastik hitam mengikut jarak yang ditentukaan. 10 biji belon air dibekalkan bagi setiap kumpulan dan dikehendaki membaling belon menggunakan plastik hitam ke pasangan sebelahnya. Riuh rendah jadinya di tempat tersebut, mana tidaknya belon air itu sangat berharga, seperti emas permata. Amanah diberi mestilah dijaga.

Galah panjang... Permainan tradisional yang ramai dah lupa!

Selepas puas bersukaneka, kami bermain permainan tradisional pula, galah panjang. Dalam permainan ini mengajar kami bagaimana untuk memasang strategi (menjadi pertahanan dan penyerang) untuk mencapai kejayaan dan juga mendidik kami bekerjasama dalam kumpulan. Apa yang penting? Kerjasama!

Aktiviti sukaneka alhamdulillah tamat pada waktu tengahari, Karnival Sukan Iqra’ pada tempoh hari, berjalan dengan lancar dan berlangsung dalam cuaca yang redup dan berangin. Sebelum majlis bersurai, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah. Kalah atau menang bukan menjadi keutamaan tetapi semangat ukhuwah dan kenangan adalah hadiah paling berharga yang tidak akan luput dalam diri setiap ahli KI dan ia bertepatan dengan tema KSI' 09, "HAVE FUN, HAVE UKHUWAH". Alhamdulillah kami bertemu kerana taat kepada-Mu yaALLAH, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan)-ALLAH dan berjanji setia untuk membela syari’at ALLAH, maka kuatkanlah ikatan pertalian kami ya ALLAH... Amin.

Barisan ikhwah-ikhwah yang semangat!

Barisan akhawat-akhawat yang hebat-hebat...

Gambar-gambar selebihnya akan diuploadkan di photo album Kelab Iqra'.

Friday, March 6, 2009

Kemenangan Muhammad Ibn Abdullah

Oleh Nur Hidayah Bt Junaidi (2SSB) & Faizah Bt Abdul Razak (2SPI)

Bulan purnama telah terbit kepada kami,
Dari jalan-jalan bukit al-Wada’.
Wajib ke atas kami untuk bersyukur,
Terhadap seruan penyeru kepada Allah.
Wahai utusan yang diutuskan kepada kami,
Kamu datang bersama perkara yang dipatuhi.


Bergema seluruh alam dengan nyanyian kegembiraan penduduk Madinah semasa kedatangan Rasulullah SAW, dalam hijrah Baginda ke Madinah. Tidak dapat dibayangkan betapa sinar kebahagiaan terpancar dalam diri setiap penduduk Madinah apabila Islam sampai di negeri tersebut.

Kini, setelah 1430 tahun penghijrahan Baginda SAW ke Madinah, Islam semakin tersebar ke seluruh pelusuk dunia. Islam pernah digeruni dengan kehebatan barisan tenteranya yang tidak gentar untuk berjihad walaupun terpaksa bergadai nyawa. Islam pernah djulang kerana kehebatan ilmu umatnya semasa zaman pemerintahan Abbasiyah. Islam juga pernah melakar sejarah dengan memayungi dua pertiga dunia. Semua ini tidak akan tercapai tanpa pertolongan Allah serta kecekalan, kesungguhan dan ketabahan Rasulullah SAW dalam menyebarkan wahyu Allah.

Saudara saudari pembaca sekalian,

Sebelum kerasulan Baginda SAW, sehinggalah kini Baginda telah 1420 tahun meninggalkan kita, banyak fitnah telah menimpa Baginda SAW dan umat Islam, dalam rangka kaum kuffar untuk menjatuhkan Islam. Antaranya pernah dunia Islam dikejutkan dengan karikatur yang menghina Rasulullah SAW. Namun hakikatnya, Muhammad Ibn Abdullah telah menang. Dengan berkumandangnya jutaan suara manusia, di belahan bumi bahagian Timur dan Barat, yang selalu diulang-ulang, tidak pernah diam dan tidak pernah berhenti, baik di pertengahan malam dan di kala siang, dalam menyebut kalimah: “Tiada Tuhan Selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah”. Penyaksian umat Islam terhadap peranan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh Allah, menunjukkan ketinggian kedudukan Baginda SAW dalam Islam.

Kemenangan itu diperoleh bukan dari pertempuran mahupun peperangan, tetapi ia dicapai dengan kehendak Allah. Allah tidak ingin menjadikan kemenangan itu satu mukjizat di mana tidak termasuk usaha manusia dan alat. Tetapi Allah mengkehendaki bahawa kemenangan itu berupa hasil yang wajar dari usaha dan perjuangan Rasulullah SAW serta natijahnya yang selayak dengan pengorbanan Baginda.

Kemenangan Nabi Muhammad SAW terbukti sewaktu awal kerasulan Baginda SAW, apabila pemimpin Quraisy bertemu dengan bapa saudara Baginda SAW, iaitu Abu Talib dengan tujuan agar Baginda berhenti dalam menyebarkan dakwah Islam. Harta dan kuasa ditawarkan sebagai balasan sekiranya Nabi Muhammad SAW mematuhi permintaan mereka. Namun, terpancar keimanan dan terbukti kemenangan Baginda SAW apabila dengan yakinnya Baginda berkata: “Demi Allah, wahai bapa saudaraku! Jika mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku, dengan maksud agar saya meninggalkan perintah ini, saya tidak akan melakukannya, sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam melaksanakannya” (Al-Hadith). Kenyataan Baginda ini telah menggoncang perasaan Quraisy dan menunjukkan kebenaran Islam yang dibawa Baginda SAW.

Daripada perisriwa ini dapat kita perhatikan keaslian dan keteguhan dakwah Rasulullah yang tidak menjadikan jalan dakwah ini sebagai batu loncatan terhadap kekayaan, kekuasaan dan kesenangan hidup. Tawaran ini tidak sedikit pun menggadai dakwah Rasulullah, malah sanggup menerima seksaan daripada kaum Quraisy. Ia juga merupakan penangkis yang strategik terhadap penyerang-penyerang ideologi yang menyebabkan mereka lemah untuk mencari kekurangan yang ada dalam diri Rasulullah sepanjang kehidupan Baginda.

Saudara saudari pembaca sekalian,

Muhammad SAW telah menang ketika berhasil membentuk para sahabat ibarat sebuah Al-Quran hidup yang berjalan di atas permukaan bumi. Baginda telah berjaya membina keperibadian para sahabat yang belum pernah dialami umat manusia sebelumnya. Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah Baginda berjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al-Quran, tetapi bukanlah dicetak dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, tetapi Baginda mencetak beribu-ribu naskah al-Quran itu dengan nur iman di atas lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia. Keperibadian Baginda SAW yang mulia sendiri juga pernah dinyatakan oleh Saidatina Aisyah ketika ditanya oleh Sa’ad bin Hisyam, dalam riwayat an-Nasai`, bahawa kelakuan dan perjalanan hidup beliau adalah Al-Quran. Kenyataan Ummul Mukminin ini membenarkan Islam yang dibawa oleh Rasululah SAW.

Akhlak serta tasawwuf Baginda dan para sahabat dijelmakan dari keimanan mereka kepada Islam yang mana menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Rasulullah tidak semata-mata berkhutbah untuk memberi peringatan tetapi telah berjaya mendidik jiwa para sahabat seterusnya membina ummah. Baginda berjaya menjadikan mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia lain melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.

Ibarat sepohon kayu yang terdiri dari akar, batang dan buah, begitulah juga pohon Islam yang terkandung di dalamnya akidah, hukum dan sistem Islam. Ini menunjukkan satu lagi bukti kemenangan Muhammad Ibn Abdullah, pada saat Baginda menjadikan hukum Islam itu satu sistem kehidupan yang syumul dari seluruh aspek kehidupan umat Islam. Kesyumulan Islam yang diajarkan oleh Baginda SAW mengatur hubungan-hubungan antara kaum muslimin. Ia berubah menjadi suatu sistem internasional di mana atas dasarnya orang Islam bergaul dengan orang-orang lain.

Pada akhirnya, Islam menang kerana aqidah kepercayaannnya telah diterjemahkan menjadi hukum. Hukum ini mengadakan suatu sistem yang menggoncangkan perasaan manusia dan memberikan ketenteraman kepada hati seluruh penduduk bumi. Bukti-bukti kemenangan ini telah terpatri di dalam al-Quran, yang bermaksud:
“Dan sungguh pasti Allah akan menolong orang yang menolong (agamanya)Nya. Sesungguhnya Allah kuat dan berkuasa. Mereka yang kalau kami beri kekuasaan di atas dunia, mereka mendirikan solat, membayar zakat, menyuruh melakukan kebaikan dan melarang mengerjakan kejahatan. Dan kepada Tuhanlah kembalinya akibat segala sesuatu”.
(al-Hajj, 22:40-41)

Kemenangan Rasululllah SAW dalam membina empayar Islam dan menjana peribadi muslim sejati seharusnya menjadi azimat dan kekuatan kepada kita semua untuk meneruskan perjuangan Baginda SAW dan para sahabat dalam menegakkan kebenaran dan membasmi kebatilan. Seterusnya menjulang kembali kegemilangan Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu. Kemenangan Rasulullah adalah bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini, merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni serta tetap (thabat) sepanjang zaman. Muhammad Ibn Abdullah telah menang, dulu, kini dan selamanya.

Monday, March 2, 2009

Generasi al-Qur’an Yang Unik

Oleh: Norbaizura binti Yaso (3SGS)

Alhamdulillah, Allah telah mengurniakan berbagai bentuk hikmah di sebalik tragedi yang berlaku di Gaza. Mereka di sana dan kita di sini, sama-sama diuji sebenarnya. Seteguh mereka di sana, dan teguhkah lagi kita di sini? Jika mereka diserang dengan serangan fizikal, adakah kita menyedari bahawa kita sebenarnya telah diserang pemikiran kita (ghazwul fikri)? Masuknya ia ke dalam pemikiran kita dengan cara yang sangat halus lagi teliti. Malah kerosakan ideologi tersebut bertapak kukuh di dalam persekitaran bahkan dalam diri sendiri.

Mari kita melihat kembali kepada zaman Rasulullah SAW, bagaimana generasi terdahulu itu berjaya membuang karat-karat jahiliyah yang telah lama bertapak dalam kehidupan mereka walaupun ianya telah diwarisi sejak turun-temurun. Apabila dua syahadah dilafazkan, maka seluruh sistem Islam itu bertapak kukuh dalam diri mereka. Keagungan tamadun dan budaya Romawi, Yunani , Parsi, China dan India pada zaman tersebut sedikitpun tidak mempengaruhi pegangan dan kepercayaan mereka. Malah bermatlamat agar tamadun-tamadun tersebut juga mengamalkan ajaran Islam. Dan akhirnya tapak yang kukuh itu, berjaya mencipta sebuah Tamadun Islam yang melakar keagungannya selama lebih 600 tahun.

Sungguh generasi sahabat Rasulullah SAW, ridhwanullahi alahihim ini adalah satu generasi yang unik. Paling istimewa dalam sejarah Islam dan sejarah kemanusiaan seluruhnya. Generasi ini tidak pernah muncul dan timbul lagi setelah itu dalam bentuk yang ramai, walaupun terdapat juga peribadi dan tokoh tertentu di sepanjang sejarah.

Tetapi persoalannya, bagaimanakah mereka ini boleh menjadi satu generasi yang unik? Apakah karakteristik umum generasi ini? Apakah rahsia mereka sehingga mereka begitu berbeza dengan kita? Al-Qur’an yang menjadi sumber dakwah mereka masih berada bersama-sama kita. Hadis-hadis Rasulullah dan petunjuk-petunjuk daripada perjalanan hidup dan sirah yang mulia itu juga masih ada di samping kita. Ia sedikitpun tidak terjejas oleh perubahan zaman. Jadi apakah rahsia di sebalik keunikan tersebut? Adakah kerana pada zaman tersebut adanya diri dan peribadi Rasulullah SAW hingga menjadikan mereka menjadi begitu unik? Bagaimana mungkin terjadinya hal yang sedemikian itu sedang Allah SWT telah memberi jaminan untuk memelihara al-Qur’an. Jaminannya juga menjanjikan bahawa dakwah ini akan berterusan walaupun selapas zaman Rasulullah SAW dan Allah akan tetap memelihara agamaNya ini sehingga hari kiamat. Maka hakikat ini membuktikan bahawa ketiadaan diri Rasulullah bukanlah alasan di atas kegagalan dakwah di zaman kini.

Saudara pembaca yang dirahmati,

Sumber pokok yang dicedok oleh generasi pertama ini adalah al-Qur’an. Hanya al-Qur’an sahaja. Hadis Rasulullah dan petunjuk-petunjuk baginda adalah penafsir kepada al-Qur’an. Pengambilan petunjuk dari al-Qur’an secara total ini telah membentuk satu generasi yang bersih hatinya, bersih pemikirannya, bersih pandangan hidupnya, bersih perasaannya, dan murni jalan hidupnya dari sebarang unsur yang lain daripada landasan Illahi yang terkandung dalam al-Qur’anul Karim. Ketika Assayyidah ‘Aisyah RA ditanya mengenai kelakuan dan perjalanan hidup Rasulullah SAW maka beliau menjawab dengan maksud: “Kelakuan dan perjalanan hidup beliau (Rasulullah saw) itu adalah al-Qur’an” (HR an-Nasa’i). Sungguh mereka ini adalah suatu Generasi al-Qur’an yang unik. Generasi ini hanya menerima panduannya dari al-Qur’an semata, maka dengan sebab inilah mereka berhasil membentuk sejarah gemilang di zamannya.

Namun demikian, setelah berlalunya beberapa dekad sumber panduan yang utama ini telah bercampur baur dengan sumber-sumber lain. Iaitu dengan falsafah Yunani (Greek) dengan cara berfikir dan logiknya, dongengan Parsi dan pandangan hidupnya, cerita-cerita israeliyat Yahudi, falsafah ketuhanan ala-Kristian yang telah bercampur baur dengan ilmu Kalam, dan turut dimasuki saki-baki peninggalan tamadun lampau yang sukar dikikis. Maka percampuran sumber panduan ini telah menjadi faktor utama generasi berikutnya berlainan sama sekali dengan genarasi al-Qur’an yang unik itu.

Selain faktor tersebut, faktor asas kedua yang membezakan antara generasi al-Qur’an tersebut dengan generasi selepasnya adalah cara generasi tersebut berinteraksi dengan al-Qur’an. Generasi pertama itu tidak mendekatkan diri dengan al-Qur’an dengan tujuan mencari pelajaran dan bahan bacaan semata-mata, bahkan bukan juga untuk mencari hiburan dan penglipur lara. Mereka sekali-kali tidak belajar al-Qur’an dengan tujuan untuk menambah bahan ilmu buat pingisian di dada mereka. Bahkan mereka mendalami al-Qur’an untuk belajar bagaimanakah arahan dan perintah yang digariskan Allah dalam urusan hidup peribadi mereka dan dan juga urusan masyarakat. Mereka mendekati al-Qur’an dalam rangka melaksanakan ayat-ayat yang diturunkan buat diri mereka tanpa rasa ragu-ragu walau sedikitpun:
“Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, melaksanakan solat, dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka, dan mereka beriman kepada (al-Qur’an) yang diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, dan mereka yakin akan adanya akhirat. Merekalah yang mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”
(al-Baqarah, 2:2-5)

Perasaan “belajar untuk melaksanakan” inilah yang telah menambah luasnya lapangan hidup, ma’rifat dan pengalaman mereka dari ajaran al-Qur’an yang tidak mungkin dapat dicapai kalau sekadar bertujuan menyelidik dan mengkaji sahaja. Dan perasaan inilah yang memudahkan urusan hidup mereka, ia melahirkan pelajaran yang menggerakkan aktiviti yang tidak bersarang sebagai teori sahaja.

Faktor asas yang ketiga yang membentuk kepada generasi al-Qur’an yang unik ini adalah penolakan jahiliyah secara total iaitu dari sudut pemisahan perasaan dan suasana kehidupan. Setelah berada di dalam Islam, mereka merasakan amalan jahiliyah dulu adalah kotor dan tidak sesuai dengan ajaran Islam. Ini timbul dari percantuman diri mereka dengan Islam serta pimpinan Islam. Mereka memberikan perhatian, kepatuhan, kesetiaan kepada masyarakat, organisasi dan pimpinan Islam.

Sedarkah kita sekarang sedang berada di mana? Kita sebenarnya sedang berada di zaman kegelapan jahiliyah seperti pada zaman Rasulullah dahulu, malah lebih gelap lagi. Konsep hidup, akidah kepercayaan, adat istiadat dan kebiasaan, sumber pelajaran seni dan sastera, peraturan dan undang-undang, dan hinggakan banyak perkara yang kita anggap sebagai pelajaran Islam rupanya hasil ciptaan jahiliyah.

Oleh yang demikan sahabat pembaca sekalian, tidakkah kita ingin menjadi satu generasi al-Qur’an seperti yang ada di zaman Rasulullah SAW? Yang mana pegangan, kepercayaan dan kepatuhan kepada Allah sedikit pun tidak berbelah bahagi, sedang fahaman jahiliyah yang melata di sekitarnya sedikitpun tidak berjaya menembus keimanan mereka. Bagaimanakah caranya untuk kita menjadi generasi al-Qur’an yang unik seperti di zaman Rasulullah saw ini? Marilah kita mengambil teladan daripada generasi pertama ini.

Pertamanya, kita mesti rujuk semula ke pangkal jalan iaitu kepada sumber yang murni yang dirujuk oleh generasi pertama tersebut iaitu al-Qur’an. Dari situlah kita harus mengambil pandangan hidup, mengambil nilai diri dan akhlak, serta mengambil panduan dan program pemerintahan, politik, ekonomi dan segala aspek kehiduan kita. Kita cintakan Islam yang sempurna (kaafah/syumul) maka segalanya haruslah diambil dari Islam, bukan pilih-memilih.
"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan."
(al-Baqarah, 2:208)

Berkata Hassan al-Hudaibi: Tegakkan Islam di dalam dirimu, nescaya tertegaklah Islam di muka bumi.

Seterusnya, rujukan murni itu haruslah dirujuk berdasarkan kaeadah “belajar kerana untuk melaksanakan” bukan sekadar untuk mengetahui, mengkaji ilmu, atau mencari bahan cerita. Kita merujuk kepadanya untuk mengetahui apa sebenarnya yang diminta untuk kita lakukan, maka kita lakukan. Dalam menelusuri pengkajian dan perlaksanaan itulah kita akan berjumpa dengan keindahan seni al-Qur’an, kisah dan cerita, pandangan-pandangan dengan logik kesedaran hati serta segala apa yang dicari oleh para ilmuan dan pakar penyelidik. Ya, kita akan jumpai semua itu. Bukan dengan maksud untuk sekadar hendak belajar dan menyelidik ilmunya, tetapi tujuannya adalah untuk mengetahui apakah pekerjaan yang al-Qur’an kehendaki untuk kita kerjakan! Konsepnya yang perlu kita pegang, tuntutan al-Qur’an mengenai pandangan dan perasaan kita terhadap Allah SWT, serta tuntutan mengenai akhlak, realiti hidup dan corak sistem hidup yang perlu kita amalkan.

Kemudian, tidak dapat tidak kita mestilah membebaskan diri dari cengkaman jahiliyah ini dan mencabut akar umbi kepada jahiliyah yang ada dalam kehidupan kita dan masyarakat. Selain dari itu, kita juga harus membuat pembersihan dari segala karat-karat jahiliyah yang ada dalam pengamalan hidup kita. Sesungguhnya antara yang hak dan yang batil, tidak akan pernah bisa berjalan seiring.

Asasnya, kekuatan hubungan dengan Allah sahajalah yang menjadi tenaga penggerak hati, rasa, pemikiran dan sahsiah diri sejajar dengan syariat Islam. Inilah rahsia kekuatan sebenar yang akan mencorak seseorang dengan corakan Allah SWT (sibghatullah) walaupun di tempat sunyi ataupun di khalayak ramai, gelap dan terang, susah atau senang; setiap ketika dan di mana sahaja. Inilah proses didikan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat sehingga dikenali sebagai generasi al-Qur’an yang unik.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:
iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com
Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!