Pages

Friday, February 27, 2009

Kem Syumul al-Qur'an (KESUMA)

Oleh: Tasneem Nasharudin

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan rahmat-Nya, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kelab Iqra sessi 2009 telah berjaya menganjurkan program Kembara Syumul Al-Quran ‘09 (KESUMA ‘09) pada 21 – 22 Februari 2009. Program yang disertai oleh ahli-ahli Kelab Iqra seramai 32 orang ini bertempat di Balai Cerap UTM.

Secara tidak rasminya, program ini telah bermula pada 20 Februari 2009 jam 9.00 malam di bilik kelab Iqra’ dengan slot pertama bertajuk “Islam:Suatu Manhaj Untuk Manusia”. Slot pertama disampaikan oleh Dr. Zaharudin bin Mohamad. Di dalam slot ini, Dr. Zaharudin telah menerangkan kepada peserta tentang tabiat agama, fitrah manusia,beberapa persoalan dan salah faham tentang Islam, dan bagaimana sesuatu manhaj itu akan terlaksana. Beliau juga menerangkan bahawa manhaj terlaksana dengan adanya segolongan manusia yang membawanya, yakin dan mengimani kebenarannya serta beramal dengannya menurut kemampuanmanusia, berusaha menerapkan kepada orang lain dan berjihad sepenuhnya dengan segala yang ada padanya.

Setelah itu, peserta kem ini dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi melakukan aktiviti latihan dalam kumpulan 1 (LDK 1). Peserta dibekalkan dengan sebungkus chocolate snack dan dikehendaki membina sebuah bangunan yang kukuh daripada chocolate snack tersebut. Daripada aktiviti yang dilaksanakan ini, dapat dilihat kekreatifan peserta berfikir untuk membina sebuah bangunan. Selain itu, kesepakatan dan tolak ansur di antara ahli kumpulan teruji apabila pelbagai idea yang berbeza-beza dikeluarkan. Di sebalik aktiviti ini, kami dapat menyimpulkan bahawa asas sesuatu binaan itu perlulah diperkukuhkan terlebih dahulu sebelum membina sebuah bangunan. Sepertimana kita sebagai muslim, perlulah mengukuhkan asas tauhid dan kepercayaan kepada Allah sebelum melaksanakan islam dalam sistem kehidupan.

Ustaz Idris sedang menyampaikan penyampaiannya kepada para peserta.

Keesokan paginya, slot kedua diteruskan dengan tajuk “Memahami Islam Menurut Al-Quran” yang disampaikan oleh Ustaz Idris bin Ismail. Beliau memulakan ceramah dengan memberikan definisi Islam menurut Rasulullah saw di mana ia meliputi islam, iman dan ihsan. Beliau juga membawa peserta berfikir mengenai situasi umat islam kini yang sedang berhadapan dengan serangan pemikiran. Dewasa ini, kita dapat melihat impak ketara yang menular dalam kalangan masyarakat adalah rosaknya akhlak umat, kehancuran dari sudut pemikiran, kecelaruan peribadi serta masalah murtad yang semakin meruncing. Umat islam kini seolah-olah telah kembali ke zaman jahiliyyah .

Sejurus sebelum slot penyampaian oleh Prof. Dr. Arshad Ahmad.

Selesai minum pagi, slot ketiga pula disampaikan oleh Professor Dr. Arshad Ahmad dengan tajuk “Tanggungjawab dan Peranan Pemuda Islam”. Menurut beliau, Islam itu syumul dan meliputi semua aspek kehidupan. Secara keseluruhannya, terdapat beberapa perkara penting yang dapat disimpulkan dalam ceramah beliau. Sebuah bangunan dapat dibina dengan kukuh sekiranya setiap individu berusaha membaiki diri dan berani memikul tanggungjawab dan tugas dakwah yang diwarisi oleh para anbia’, sahabat dan da’e sebelum ini. Penyampaian beliau tamat pada jam 1.00 petang. Setelah itu peserta bersiap-siap untuk solat zohor berjemaah dan menikmati makan tengah hari.

Slot keempat yang bertajuk “Nasihat Kepada Umat Islam Kini” telah disampaikan oleh ustaz Nasir bin Masrom. Beliau menegaskan hadith pertama daripada Himpunan Hadith 40 oleh Imam Nawawi, bahawa betapa pentingnya setiap amalan itu dimulakan dengan niat. Selain itu, beliau juga menerangkan jenis-jenis amal yang diterima oleh Allah swt serta faktor-faktor yang akan merosakkan amal. Slot seterusya disambung oleh En. Baharin bin Mesir yang bertajuk “Dasar-dasar Asasi Dalam Cara Hidup Islam”. Beliau membawa peserta memikirkan neraca pertimbangan yang sepatutnya diikuti oleh umat Islam, mengenali hakikat kejadian manusia, pengertian Islam, sifat- sifat yang terkandung dalam agama Islam itu sendiri serta prinsip asas dalam kehidupan manusia.

Memandangkan cuaca pada petang itu hujan, aktiviti riadah digantikan dengan LDK 2. Aktiviti LDK 2 dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Peserta diberikan tiga situasi berbeza dan dikhendaki membincangkan situasi tersebut di dalam kumpulan. Tiga situasi yang diberikan adalah berkisar tentang tanggungjawab kita sebagai hamba Allah iaitu sebagai khalifah dan menurut segala perintahNya serta tangungjawab individu dalam melakukan amal dan dakwah. Dalam LDK ini, semua peserta bersemangat dalam melontarkan idea masing-masing serta berkongsi dengan peserta-peserta dan fasi yang ada. Kesimpulan yang diperoleh dalam LDK ini ialah tanggungjawab dakwah atau amal makruf wa nahi munkar adalah kewajipan setiap individu, tanpa melihat pada pangkat atau hartanya. Dalam berdakwah juga adalah penting untuk setiap individu mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuannya dan mempertingkatkan amal ibadahnya. Sesungguhnya Allah menyukai hamba-hambaNya yang beramal walaupun sedikit tapi istiqamah.

Selepas solat mahrib dan isyak berjemaah, peserta menikmati makan malam. Pada jam 9.15 malam, ustazah Farahwahida Mohd Yusof membawa tajuk “Sistem Kehidupan Dalam Islam” untuk slot yang kelima, yang juga adalah slot terakhir dalam program KESUMA . Beliau memulakan ceramah dengan memberi penekanan terhadap aqidah serta tiga elemen penting dalam pembentukan aqidah yang perlu ada pada setiap mukmin. Elemen tersebut adalah keyakinan dalam hati, menerima dan membenarkan dengan hati seterusnya mengaku dengan lidah serta menzahirkan dengan amalan harian. Setelah itu, ustazah Farahwahida menunjukkan video-video yang berkaitan dengan sistem kehidupan dalam Islam. Antaranya ialah muamalat, pendidikan, jihad, jenayah, politik, ibadah dan aqidah. Dalam video yang dipaparkan, dapat disimpulkan bahawa islam itu syumul dalam semua system kehidupan kita.

Kumpulan akhawat dengan "cabarannya".

Pada sebelah malamnya pula, peserta menjalankan aktiviti yang dinamakan Tafakur Malam. Aktiviti ini dijalankan secara berasingan antara ikhwah dan akhawat. Peserta dibahagikan kepada lima kumpulan. Setiap kumpulan perlu melantik seorang ketua. Dalam setiap kumpulan juga ada seorang pengkhianat. Akan tetapi ahli yang lain tidak mengetahui kewujudan pengkhianat ini. Pengkhianat ini bertindak dengan mengelirukan ahli kumpulannya dari menjejaki ketua mereka. Peserta dikehendaki untuk menutup mata kecuali ketua. Kemudian dibawa ke tapak Tafakur Malam iaitu di perkarangan tempat letak kereta di balai cerap. Di sini, pengkhianat dibenarkan untuk membuka penutup mata tetapi tidak diketahui oleh ahli yang lain. Kesabaran dan kesungguhan seorang ketua teruji apabila melihat ahli yang tidak tertutup matanya tidak mempedulikan signal yang dibuat. Aktiviti yang menyeronokkan ini telah membina kepercayaan dan kemesraan ukhuwah di kalangan para peserta dengan ahli kumpulannya yang lain.

Aktiviti kemuncak bagi program ini adalah Kembara Syumul, iaitu program outdoor yang dilakukan di sekitar balai cerap. Aktiviti ini mempunyai peraturan di mana peserta perlu menyelesaikan semua tugasan dalam setiap checkpoint yang ada. Peserta diuji dengan beberapa masalah ekonomi yang dihadapi oleh umat islam contohnya terlibat dalam riba, perjudian dan penipuan. Kem Kembara Syumul (KESUMA) tamat sekitar jam 12 tengahari. Selepas itu, peserta dikehendaki berkumpul dan sesi muhasabah program dijalankan di mana mereka dikehedaki memuhasabah kembali tentang segala input yang boleh diperolehi daripada keseluruhan program ini. Selepas menunaikan solat zohor dan makan tengahari, para peserta mengemas barang-barang dan bergerak pulang. Walaupun masing-masing kepenatan, namun segala pengalaman dan ilmu yang diperoleh serta ukhuwah yang terjalin tidak ternilai harganya.

Kumpulan ikhwah sedang menyelesaikan masalah...

Satu kumpulan akhawat dalam di salah satu checkpoint kembara Syumul.

Alhamdulillah, semoga KESUMA akan memberi input yang bermanfaat dan mencapai objektifnya iaitu dapat menghayati konsep kesyumulan islam dalam kehidupan mahasiswa melalui penghayatan al-Quran, meningkatkan kemahiran insaniah dikalangan peserta melalui penerapan konsep kesyumulan islam dalam kehidupan dan mengeratkan silaturahim sesama ahli termasuklah para peserta, fasilitator dan individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam program ini.

nota: Klik pada gambar pertama untuk ke album gambar KESUMA.

Thursday, February 19, 2009

Hikmah disebalik peristiwa Gaza

Oleh: Zaleha Mohamad Saidin (3SKK)

Usai peristiwa perang Gaza selama 22 hari yang mengorbankan lebih 1300 orang saudara-saudara kita di Palestin, keadaan nampaknya agak reda kini. Namun, genjatan senjata yang disangka masyarakat dunia mampu melenyapkan kerakusan Zionis Israel ternyata meleset sama sekali dengan kehadiran berita-berita pencabulan oleh rejim tersebut. Sungguh, ini mengingatkan kita kepada satu firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 120 yang berbunyi, “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan ridha kepada kalian hingga kalian mengikuti agama mereka”. subhanallah, benarlah kalam Allah ini!

Jika terkenang kembali peristiwa di Gaza, pastinya kita tertunduk sayu. Jika masyarakat dunia bukan Islam yang turut meratap sedih kejadian Gaza atas nama kemanusiaan, apatah lagi kita yang beragama Islam. Orang-orang Palestin adalah saudara-mara kita yang terikat atas dasar tauhid yang satu. Kesengsaraan mereka adalah kesengsaraan kita, kesedihan mereka adalah kesedihan kita dan kesakitan mereka adalah kesakitan kita. Rasulullah SAW pernah menyebutkan bahawa umat Islam ini ibarat sebuah jasad, jika sakit salah satu anggotanya, maka akan sakitlah seluruh jasad. Sinonimnya, cubit paha kanan paha kiri pun terasa.

Biarpun demikian, adakah peristiwa Gaza dilihat sebagai suatu lipatan sejarah dengan menegaskan peristiwa ini telah mengorbankan dan mencederakan beribu-ribu masyarakat Palestin semata-mata? Atau kita hanya melihat ia sekadar kisah peperangan yang mana satu pihak ingin merampas hak satu pihak yang lain? Berbalik kita kepada Allah bahawa sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Kita meyakini bahawa kejadian ini pasti ada hikmahnya, insyaAllah. Jika kita amati betul-betul, ternyata peristiwa Gaza merupakan salah satu ujian buat orang-orang beriman sebagaimana firman Allah dalam Al-Ankabut ayat 11, “Dan sungguh Allah benar-benar akan mengetahui orang-orang yang beriman: dan sungguh Allah akan mengetahui orang-orang yang munafik”. Allah telah menampakkan hakikat keimanan seseorang dan pengaruhnya di medan nyata. Dan hal ini semakin menambah mantap keyakinan orang-orang yang beriman serta semakin meneguhkan mereka dalam berjihad dan memegang agama ini. Syaikh ‘Alwi bin Abdul Qadir as-Saqaf menegaskan bahawa apa yang terjadi di Gaza bukanlah keburukan seratus peratus bahkan di dalamnya banyak terdapat kebaikan. Ini hanya diketahui oleh mereka yang bashirahnya telah disinari oleh Allah dengan cahaya keimanan.

Tidak perlu merenung jauh, lihatlah di sekeliling kita wahai sahabat-sahabat. Sejak bermulanya perang terangan di Gaza tanggal 27 Disember 2008, ternyata umat Islam ‘dipaksa’ untuk lebih mengenal Gaza baik dari segi sejarahnya sebagai bumi anbia dan Isra’, meyingkap kisah jihad pejuang-pejuang Hamas, seterusnya meletakkan bumi Palestin dekat di dalam hati setiap dari kita malah menjadikan kita semakin peka dan buka mata dengan pencerobohan rejim Zionis dan pencabulan-pencabulan mereka. Di sana-sini, kita dapat perhatikan demonstrasi-demonstrasi bantahan terhadap Israel. Di mana-mana, masih ada solat hajat khas buat Palestin diadakan bahkan sehingga ke hari ini. Selain itu, kita menyahut seruan boikot barangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat. Sesungguhnya kita mengharapkan ekonomi kedua-dua Negara laknat ini dapat dilumpuhkan agar dengan itu, tempanglah kuasa mereka, akan pincanglah pengaruh mereka. Kita berdoa, berdoa dan berdoa saban malam mengaharapkan Palestin akan kembali kepada yang punya hak, yakni umat Islam. Kita menyedari sesungguhnya usaha kita yang kecil ini hanyalah secebis usaha yang mampu kita lakukan di sini padahal pejuang-pejuang Palestinlah yang mengetuai jihad sebenar berada di saf paling hadapan. Biarpun demikian, yakinlah kita bahawa Islam akan menang akhirnya. Yakinlah kita usaha kita yang sedikit ini mampu memberikan impak positif dengan izin Allah SWT.

Pembantaian umat Islam di Gaza amat memilukan kita. Sejenak, kita pasti terfikir apakah mesej Allah di sebalik peristiwa perit ini. Dari satu segi, jika direnung dari aspek akidah inilah merupakan suatu bentuk ujian dan cubaan buat orang-orang beriman. Di antara nilai-nilai aqidah yang nampak dengan jelas baik bagi rakyat Gaza maupun kaum beriman yang jujur lainnya adalah: keimanan kepada qadha dan qadar (takdir Allah), berlindung kepada Allah ‘azza wa jalla, ketawakalan kepada-Nya, nilai-nilai ukhuwah imaniyah, dan berbaik sangka kepada Allah serta keyakinan akan pertolongan-Nya dan janji-Nya yang haq. Sebagai contoh, para mujahidin Palestin telah memberikan keteladanan yang tinggi dalam hal beriman kepada qadha dan qadar, bersabar dan redha tanpa disertai keluh kesah. Begitulah juga kita yakni wajib meyakini bahwa apa yang menimpa rakyat Gaza berupa pembunuhan, penghancuran, luka dan lapar, semua itu adalah takdir Allah yang berjalan pada hamba-hamba-Nya yang beriman.

Apabila tercetusnya peperangan di Gaza, kita diseru melakukan pemboikotan barangan dan perkhidmatan yang membantu Israel dari sudut kewangan mereka. Rata-rata barang keperluan seharian kita meliputi barangan yang menyumbang kepada penghasilan peluru dan senjata yang membedil Gaza. Di sini kita dapat melihat dengan jelas bahawa ekonomi dunia sekarang sedang dikuasai oleh negara barat yang mana mereka memberi sokongan yang sepenuhnya ke atas perampasan tanah Palestin oleh Israel. Apabila kita telah menolak sesuatu penggunaan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang menyokong Israel, sudah tentulah kita perlu mencari alternatif lain untuk menampung keperluan seharian. Oleh itu, ada sesetengah pihak mengambil ia sebagai peluang keemasan untuk mereka mengembangkan ekonomi mereka. Mereka cuba menghasilkan dan mengembangkan produk atau perkhidmatan mereka yang hampir serupa fungsinya dengan barangan yang diboikot. Secara tidak langsung, kita sebagai pengguna tidak akan bergantung sepenuhnya kepada penggunaan barangan atau perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang menyokong Israel.

Seperti yang kita sedia maklum hasil kajian oleh penulis bebas, Dr. Farrukh Saleem telah membuktikan bahawa dengan jelas dunia ilmu sekarang telah dikuasai oleh kaum yahudi dalam pelbagai bidang. Hampir setiap kemudahan yang tersedia sekarang adalah terhasil daripada kebijaksanaan dan keilmuan yang dimiliki oleh Yahudi. Persoalannya, di manakah ilmuwan Islam yang mampu menandingi kehebatan ilmu yang dimiliki oleh Yahudi? Kita bangga dengan sejarah Islam yang menceritakan cendekiawan dan ilmuwan Islam merupakan perintis terhadap kemodenan dunia sekarang seperti Ibnu Sina yang pakar di dalam perubatan. Namun adakah kebanggaan itu mampu menandingi kehebatan ilmuwan Yahudi sekarang? Kita sebagai mahasiswa yang bakal mewarisi kepimpinan negara harus melihat perkara ini sebagai cabaran untuk kita berusaha menjadikan Islam gemilang semula dengan kelahiran pakar-pakar daripada pelbagai bidang. Tidak hanya belajar semata-mata untuk mencari sumber kewangan tetapi melaksanakan ia kerana satu ibadah dan merupakan jihad untuk kita di sini. Ilmu adalah sumber kekuatan. Tanpa ilmu kita akan ditindas dan diperlekehkan. Pengusaan ilmu adalah penting untuk mencapai kemenangan. Imam Ibn Kathir menafsirkan bahawa: Golongan ulul albab (golongan yang berakal) sebagai golongan yang mempunyai ilmu yang tinggi serta pemikiran yang bersih sehingga mampu meletakkan sesuatu perkara pada hakikatnya yang betul.

Masih terdapat banyak hikmah disebalik kisah peperangan Gaza. Kita harus menilainya daripada sudut positif bagi melahirkan golongan yang mampu menetang kekejaman yang dilakukan oleh Israel. Apa yang telah terjadi ke atas Gaza telah ditakdirkan Allah, segalanya telah terencana di sisi-Nya. Semoga peristiwa pahit ini menjadi suatu titik tolak penghijrahan umat Islam supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar. Sesungguhnya Sheikh Mohd Abduh pernah berkata, “Kecemerlangan Islam itu tertutup oleh kebodohan umatnya”. Oleh itu wahai sahabat sekalian, lihatlah peristiwa Gaza ini sebagai satu platfom yang mampu meledakkan semangat perjuangan kita menegakkan Islam. Ia merupakan peringatan daripada Allah tentang tanggungjawab kita sebagai khalifah di bumi ini untuk menegakkan yang haq dan menentang yang batil.

Wednesday, February 18, 2009

Karnival Sukan Iqra' 09

KSI '09
Karnival Sukan Iqra' 2009

InsyaALLAH akan berlangsung pada 1 MAC 2009 (Ahad),
bertempat di Padang KRP.
Bermula jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari.

Acara menarik yang bakal berlangsung:
Futsal (Ikhwah)
Bola Jaring (Akhawat)
Sukaneka

Mari bersama-sama memeriahkannya
"Have Fun, Have Ukhuwah"

Tempah bajunya sekarang... (Klik "teruskan membaca" untuk melihat baju)
T-Shirt Ikhwah (RM 17)



T-Shirt Akhawat (RM 19)

Tuesday, February 17, 2009

KESUMA '09


KESUMA'09
KEM KEMBARA SYUMUL AL-QURAN


TEMPAT:
MSI & Tapak Seminar Balai Cerap, UTM

TARIKH:
20-22 FEBRUARI 2009


AKTIVITI:
Ceramah, LDK, Riadhah & aktiviti outdoor yang menarik

"AL-QURAN PANDUAN KESYUMULAN ISLAM"

Saturday, February 14, 2009

Serangan Pemikiran Musuh Islam

Oleh: 'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi (3SMM)

Bismillahir Rahmani Rahim…

Di dalam siri-siri yang lepas Sinar Iqra’, dan ketika timbulnya isu keganasan Israel di Gaza, saya telah menceritakan tentang masalah yang dihadapi oleh ummah. Iaitu tentang kelemahan (al-wahnu) yang ada pada individu-individu yang mengaku dirinya muslim. Kita mengingati kembali sebuah hadith yang disebutkan oleh RasuluLlah SAW: "…dan Dia mencampakkan ke dalam hati kamu al-Wahnu…" dan disambung lagi, "(al-Wahnu adalah) cintakan dunia dan bencikan kematian" (Abu Daud, Ibn Majah). Dari hadith ini, kita dapat melihat bahawa orang muslim kini; (1)tidak memiliki keimanan yang mendalam, (2)hatinya dicegkam oleh urusan dunia, dan (3)semangat jihad telah hilang sama sekali dari dada mereka kerana takutnya mereka kepada kematian. Tetapi persoalannya, bagaimanakah satu ummah yang pernah memegang tamadun dunia dan menjadi al-ustaziyatul alam (paksi utama dunia) boleh menjadi begitu teruk sekali keadaannya? Apakah sebab-sebab dan punca yang menyebabkan boleh terjadinya hal-hal yang disebutkan oleh RasuluLlah itu sehingga sebuah tamadun yang agung berjaya diruntuhkan?

Sememangnya apa menyebabkan bangsa muslimin ini lemah ialah diri mereka sendiri. Suatu ketika dahulu, ketika zaman-zaman perluasan dan penyebaran Islam ke seluruh dunia ummah ini adalah ummah yang kuat. Musuh-musuhnya terasa gerun terhadap mereka disebabkan kehebatan dan 'izzah yang ditunjukkan oleh para mujahid yang berjihad dan berda'wah di jalan Allah. Bahkan kegerunan tersebut umpama kegerunan yang dirasai saat berjumpa dengan seekor singa yang buas. Bangsa muslim pada ketika itu maju dengan lajunya membuat futuhat (pembukaan wilayah) dengan Islam yang mulia. Ruh jihad yang mengalir di dalam salur darah dan sendi-sendi para muslimin ketika itu begitu hidup sekali. Jika musuh-musuh Islam berhadapan dengan tentera Islam, nescaya kebiasaannya yang menang adalah tentera muslimin.

Tetapi setelah mengecapi manisnya berada di puncak dunia, ramai dari kalangan mereka yang mula terpesona dan terikat hatinya kepada kesenangan dan kemewahan dunia. Lagi-lagi golongan kepimpinan yang menaungi ummah pada ketika itu. Pada masa yang sama, musuh-musuh Islam sudah mula menyedari bahawa mereka tidak akan mampu menang dengan peperangan yang berlaku secara fizikal sahaja. Bagaimana suatu kaum yang takut mati, dan ingin mendapat tujuan dunia boleh menandingi sebuah ummah yang rakyatnya tidak takut mati, bahkan matlamatnya ialah Allah dan hari akhirat? Bagaimana mereka boleh menandingi sebuah bangsa yang cita-cita tertingginya adalah untuk menegakkan kalimah Allah atau syahid di atas jalan tersebut? Mereka mengatakan, "selagi mana adanya semangat jihad, selagi itulah kita tidak akan menang".

Lalu mereka merancang untuk berperang dengan cara-cara yang selain dari Ghazwatul ‘Askariyah (peperangan ketenteraan) untuk mengalahkan dan menguasai bangsa yang agung ini. Oleh itu, timbullah di benak fikiran mereka idea untuk melancarkan Ghazwatus Siyasiyah (peperangan politik), Ghazwatul Iqtisadiyah (peperangan ekonomi), dan juga Ghazwul Fikri (peperangan pemikiran). Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjauhkan ahli bangsa muslim ini dari al-Qur’an dan as-Sunnah sehinggakan kesetiaannya tidak lagi kepada Allah dan Rasul, tetapi kesetiaan itu diberikan kepada kaum kuffar. Mereka ingin menentang dan menjatuhkan sebuah ummah yang kuat dengan mencabut serta membuang sumber kekuatan itu dari dada umat Islam.

Dengan terlancarnya Ghazwul Fikri terhadap umat ini, kaum kuffar berjaya menghancurkan pemikiran bangsa muslim. Kita dapat melihat kesannya di depan mata kita, walaupun di dalam universiti ini sendiri. Dahulu bangsa muslimin banyak disibukkan pemikiran mereka terhadap urusan-urusan yang besar, dan jiwa mereka jarang dilalaikan dari hal-hal yang kecil. Mereka berjuang di atas jalan Allah dengan sebenar-benar juang, al-Qur’an dihafaz sejak dari umur yang kecil lagi, dan remaja-remaja hatinya cinta kepada berjihad di jalan Allah. Tercatat di dalam sejarah, seorang pengintip barat telah terjumpa dengan seorang remaja yang menangis di tepian jalan. Remaja tersebut ditanya, "Mengapa engkau menangis wahai anak?" lalu dia menjawab, "Ibuku tidak membenarkan aku keluar berjihad dengan mujahidin, selagi mana aku belum menghafaz al-Qur’an… Aku ingin berjihad sekarang…". Begitu murni dan mulia sekali pemikiran remaja muslim ketika itu. Mereka disibukkan dengan cita-cita menguasai al-Qur’an dan syahid di atas jalan Allah. Tetapi sekarang, jika terjumpa seseorang yang bernangis di tepian jalan mereka akan mengatakan "Aku telah ditinggalkan oleh pasanganku…". Neraca pemikiran para pemuda ummah telah berubah dari hal yang besar kepada hal yang remeh.

Usaha-usaha yang dilancarkan oleh barat dan kaum kuffar bertambah subur dengan pelancaran hari-hari peristiwa seperti Valentine's day. Disebabkan kejahilan yang menimpa umat Islam, mereka turut menyambut hari Valentine. Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa peristiwa ini bertentangan dengan aqidah Islam. Maka hasilnya, ramai yang melihat hari tersebut sebagai hari kekasih dan ini membawa mereka untuk berpacaran bersama-sama dengan pasangan mereka, walaupun mereka belum lagi diikat dengan ikatan perkahwinan yang sah. Hal ini membawa kepada kehancuran akhlak di kalangan pemuda-pemuda khasnya pemuda Islam. Kerana deen (agama) ini mengajar supaya setiap muslim menjauhi zina.

Apabila perbuatan menyambut hari Valentine dan juga hari-hari yang lain menular dan menjadi kebiasaan, ia menjadi petunjuk bahawa pemikiran masyarakat kita telah dirosakkan oleh barat dan kaum kuffar. Secara tidak langsung, musuh-musuh Islam berjaya menjalankan salah satu dari agenda mereka untuk menjauhkan umat Islam dari al-Qur’an dan as-Sunnah, bahkan membuat perkara-perkara yang dengan terang bertentangan dengan apa yang terdapat di dalam kedua-dua sumber tersebut.

Selain dari itu, Ghazwul Fikri ini telah berjaya melarutkan keperibadian seseorang muslim. Ini bertepatan dengan apa yang Allah sebutkan: "Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama (dengan mereka). Maka janganlah kamu jadikan di antara mereka penolong-penolong(mu), hingga mereka berhijrah pada jalan Allah. Maka jika mereka berpaling, tawan dan bunuhlah mereka di mana saja kamu menemuinya, dan janganlah kamu ambil seorangpun di antara mereka menjadi pelindung, dan jangan (pula) menjadi penolong" (an-Nisa', 4:89). Terlarutnya keperibadian seorang muslim sehinggakan mereka menjadikan musuh-musuh Islam sebagai penolong dan pelindung.

Bahkan hasil dari serangan yang telah dilancarkan ke atas pemikiran umat Islam, ramai yang telah murtad dan meninggalkan agamanya. Dalam sesetengah keadaan, ada individu-individu yang tidak terhenti sekadar murtad berkeseorangan, mereka turut mengajak dengan bangganya kepada orang lain untuk turut murtad dari deen Islam, dengan alasan konon-kononnya mereka telah mendapat "hidayah" dari "Tuhan". Allah telah berfirman: "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mentaati orang-orang yang kafir itu, niscaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran), lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi" (Aali 'Imran, 3:149).

Wahai saudara pembaca yang budiman, kita ingin agar kita kembali menjadi ummah yang gemilang. Kita ingin agar kita kembali menjadi al-Ustaziyatul ‘alam, tetapi bagaimanakah kita boleh kembali kepada keadaan tersebut sekiranya kita tidak membebaskan seluruh pemikiran kita, jiwa kita, dan jasad kita dari dicengkam oleh musuh-musuh Islam. Marilah kita mengembalikan masyarakat kita kepada Allah SWT tanpa sebarang syaratpun. Kita ingin agar iman yang mendalam kembali memenuhi hati ummah, tetapi persoalannya bagaimana?

Sebagai kesimpulan, ar-Rasul telah menyebut: "Aku meninggalkan kepada kamu dua perkara. Kamu tidak akan sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada dua perkara ini, iaitu Kitab Allah (al-Qur’an) dan sunnah nabiNya" (Malik, al-Muwatto').

Saturday, February 7, 2009

Yahudi: Siapakah mereka sebenarnya?

Oleh: Nurul Sa'adah Yusof (3SMM)

Adakah kita mengetahui tentang sejarah kehidupan nenek moyang yahudi? Mengapa kita membenci yahudi? Memang tidak dapat dinafikan bahawa bangsa yahudi adalah satu bangsa yang Allah SWT kurniakan memiliki tahap keilmuan yang tinggi. Ini telah dibuktikan oleh Dr. Farrukh Saleem, seorang penulis bebas (rujuk sini) yang menceritakan siapakah yahudi, siapakah Islam. Namun adakah dengan kenyataan tersebut telah membuatkan umat Islam hilang semangat untuk berjuang semata-mata disebabkan oleh kekuatan yang dimiliki oleh musuh kita? Sebenarnya, Islam mengajar umatnya supaya mengenal siapakah musuh kita sebenarnya. Ini bertujuan untuk kita mengetahui apakah kelemahan dan kekuatan yang ada pada musuh kita dan menjelaskan kenapa kita memusuhi mereka. Di samping itu kita harus mengkaji sikap dan perilaku musuh kita tersebut supaya mengetahui rentak permusuhan mereka. Perkara ini dapat kita lihat melalui penelitian kita terhadap sejarah.

Dalam lipatan sejarah, telah membuktikan bahawa kaum yahudi merupakan kaum yang sentiasa ditindas dan ditekan. Pelbagai peristiwa yang berlaku sepanjang zaman yang menceritakan penjajahan ke atas yahudi. Kisah penjajahan ke atas mereka telah dimulakan oleh Raja Firaun Nikho dari Mesir. Selepas itu, untuk kali keduanya mereka telah dijajah lagi oleh Raja Nabukadnesar (Bukhti-Nashar) dari Babil. Semasa penjajahan tersebut, raja dan tenteranya telah membinasakan habis-habisan Jerussalem termasuk Baitul Maqdis yang didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan menawan majoriti rakyatnya.

Seterusnya pada tahun 203 sebelum Masihi pula menyaksikan penjajahan yang lebih teruk oleh raja-raja Syria malahan membawa kepada penahanan Yahuza yang menjadi raja yahudi pada masa itu. Orang-orang lelaki dijadikan hamba abdi, manakala cukai-cukai yang tinggi turut dikenakan ke atas mereka.

Tidak cukup di situ, Allah SWT membinasakan mereka apabila Rom menjajah pula selepas itu. Negara Palestin telah dimasukkan di bawah negara mereka. Pada tahun 70 Masihi, golongan yahudi telah melakukan pemberontakan ke atas penjajah mereka iaitu Rom. Pemberontakan ini menemui jalan buntu. Akibatnya Rom telah mengeluarkan arahan kepada gabenornya di situ yang bernama Titus untuk membakar rumah-rumah ibadat yahudi dan membunuh kebanyakkan penduduk yahudi dan menjual yang lain sebagai hamba. Tidak lama selepas itu, Jerussalem pesat membangan semula. Kaum yahudi mengambil kesempatan untuk memberontak buat kali kedua tetapi masih gagal. Adrian yang menjadi raja Rom akhirnya memerintahkan agar bandar Jerussalem dimusnahkan habis-habisan dan rakyatnya dibunuh.

Antara sebab penindasan dilakukan ke atas kaum yahudi kerana sikap sombong dan tidak setia pada perjuangan. Golongan yahudi merupakan golongan yang tidak pernah kenal erti berterima kasih. Walaupun hanya menumpang di negara orang, perangai mereka tidak ubah seperti tuan yang memeras dan menganiaya golongan peribumi negara itu. Kemahiran berniaga telah menjadikan golongan yahudi sombong dan tidak berperikemanusiaan.

Permusuhan yahudi terhadap Islam bermula apabila nabi akhir zaman diutuskan melalui keturunan Arab. Hal ini telah timbul hasad dengki, iri hati dan benci dalam diri golongan yahudi terhadap umat Islam kerana mereka mendakwa keturunan mereka telah dimuliakan dengan kelahiran nabi-nabi sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW. Ini dapat dibuktikan daripada kisah Nabi Muhammad SAW ketika bertemu seorang paderi bernama Buhaira semasa perjalanan ke Syam untuk berniaga. Diceritakan bahawa Buhaira memberi amaran kepada bapa saudara nabi, Abu Talib setelah beliau melihat tanda kerasulan Baginda supaya segera pulang ke Mekah untuk melindungi nyawanya. Jika perkara tersebut diketahui oleh orang yahudi, mereka pasti akan mengancam nyawa Nabi Muhammad SAW.

Sejak perutusan Nabi Muhammad sebagai rasul, hubungan antara yahudi dan orang-orang beriman selalu diwarnai dengan pengkhianatan dan penipuan yang dilakukan oleh kaum yahudi. Mereka tetap membangkang dan tidak mengakui Rasulullah sebagai nabi. Terdapat banyak kisah bagaimana sikap dan perilaku yahudi terhadap kaum muslimin pada zaman Rasulullah. Antaranya adalah:
  1. Pemboikotan ekonomi: Melakukan pemboikotan ekonomi dengan tidak melakukan sebarang urus niaga dengan kaum muslimin ketika di awal perkembangan Islam di Madinah selepas kaum muslimin Mekah berhijrah ke Madinah.
  2. Membangkit fitnah dan kebencian di antara Aus dan Khazraj: Syas bin Qais seorang tokoh yahudi mengutus seorang pemuda yahudi untuk duduk bersama beberapa orang sahabat dari Aus dan Khazraj yang sedang berkumpul di dalam satu majlis. Pemuda tersebut mengungkit kembali kisah perang Bu’ats yang pernah mereka alami. Akibatnya mereka saling bertelagah dan menghidupkan kembali api kemarahan di antara Aus dan Khazraj.
  3. Merancang membunuh Rasulullah: Seorang perempuan dari kalangan kaum yahudi menghantar daging yang dimasukkan racun kepada Rasulullah lalu Baginda memakan sebahagiannya. Apabila perempuan tersebut dibawa ke hadapan Rasulullah, lalu Baginda bertanya berkenaan racun tersebut. Perempuan tersebut mengatakan dia sengaja hendak membunuh Rasulullah.
  4. Mengkhianati perjanjian: Ketika perang al-Ahzab, bani Quraizhah (salah satu suku yahudi) telah mengkhianati perjanjian dengan Rasulullah yang di buat untuk seluruh penduduk kota Madinah termasuk suku mereka. Mereka telah membantu pasukan musyrikin untuk menyerang kaum muslimin dari dalam kota Madinah. Setelah tentera musyrikin berjaya dikalahkan, Rasulullah bersabda bahawa siapa yang tunduk dan patuh, maka janganlah sekali-kali mendirikan solat asar kecuali di bani Quraizhah. Isyarat tersebut ditangkap oleh para sahabat untuk melakukan peperangan dengan bani Quraizhah. Akhirnya bani Quraizhah meninggalkan Madinah.
Tekanan dan kezaliman ke atas yahudi sebenarnya tidaklah terbatas pada umat Islam di tanah arab sahaja, malah ia berlaku di negara seperti Sepanyol, Portugal, Rom dan negara Eropah kerana semuanya disebabkan sikap mereka yang khianat dan sombong.

Kini sejarah telah membuktikan kenapa kaum yahudi adalah kaum yang sentiasa akan di tindas. Semuanya disebabkan oleh sikap dan perilaku mereka yang tidak menghormati kaum lain. Islam tidak pernah menghukum mereka kerana mereka yahudi melainkan dengan sikap mereka yang sombong dan angkuh serta tidak setia. Kisah kehidupan kaum yahudi yang sering di tindas dan ditekan kerana sikap mereka telah pun di sebut di dalam al-Quran. Perkara ini telah diterangkan oleh Allah SWT menerusi ayat al-Quran yang bermaksud:
"Maka setelah mereka bersikap sombong terhadap segala apa yang dilarang. Kami katakan kepada mereka, 'Jadilah kamu kera yang hina'. Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan mengirim orang-orang yang akan menimpakan azab yang seburuk-buruknya kepada mereka (orang yahudi) sampai hari kiamat. Sesungguhnya Tuhanmu sangat cepat seksaanNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang"
(al-A'raf, 7:166-167)

Janji Allah SWT akan sampai bagi memastikan Islam akan tinggi semula dan musuh-musuh Islam terutamanya yahudi akan kembali ke era kesusahan dan penindasan seperti keadaan asal mereka. Kita menyakini usaha mereka mengumpulkan bangsa mereka di tengah-tengah negara umat Islam itu akan berakhir dengan penghapusan mereka secara terus dari muka bumi ini disebabkan kezaliman yang mereka lakukan. Ini bersesuaian dengan maksud sebuah hadith yang sahih:
"Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah umat Islam memerangi orang yahudi(di sebuah tempat). Umat Islam akan membunuh mereka beramai-ramai sehinggakan apabila mereka bersembunyi di sebalik batu dan pokok, tiba-tiba pokok-pokok dan batu itu bersuara menjerit memanggil umat Islam agar membunuh orang yahudi itu kecuali pokok ‘Gharqad’, kerana ia adalah pokok yahudi."
(Bukhari dan Muslim)

Ayat al-Quran dan hadith di atas menyebutkan bahawa azab dan tekanan akan terus menimpa kaum yahudi hingga ke hari kiamat. Sejarah bangsa yahudi perlu diberitahu kepada mereka agar mereka sedar bahawa sikap dan perilaku mereka akan mendapat balasan dan kebenaran isi kandungan al-Quran sebagai wahyu Ilahi akan terbukti. Ayat-ayat seperti ini juga bertujuan memberi satu kekuatan berupa sokongan moral dan spiritual kepada umat Islam agar berusaha memperkuatkan diri ke arah merealisasikan fakta ini dari segi rohani dan jasmani. Oleh itu, wajib kita mengimani janji Allah dan rasulNya.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:
iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com
Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!