Pages

Thursday, January 29, 2009

Boikot Barangan Amerika dan Israel

Oleh: Mohamad Amir Imran Bin Mohd Hasli (2SET) & Noorfitri Bin Adenan (2SHF)

Kali ini, kami ingin membawa warga UTM untuk bersama-sama melaksanakan peranan dan kuasa yang ada pada kita iaitu boikot. Walaupun kita tidak dapat bersama-sama berjihad di medan Gaza, tetapi atas nama ukhwah Islamiyyah, kita meluahkan rasa benci dan marah kita atas apa yang Yahudi Zionis lakukan terhadap saudara-saudara kita di Palestin melalui cara ini. Istilah boikot ini bukanlah terhad kepada memulaukan barangan, perkhidmatan dan produk Amerika dan Israel semata-mata, tetapi juga termasuk memulaukan racun-racun saraf yang dibawa oleh yahudi laknatullah sejak sekian lama. Oleh itu, kami membahagikan artikel minggu ini kepada dua bahagian utama, yang pertama memboikot produk dan barangan Amerika dan Israel, yang kedua boikot sistem dan pemikiran sesat yang menjadi racun kepada umat Islam akhir zaman ini.

Bahagian 1 :
Dewasa ini, banyak pihak memperkatakan tentang isu boikot barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyalurkan keuntungannya kepada Israel Laknatullah sama ada pihak kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), para cendekiawan mahupun masyarakat umum. Isu ini hangat diperkatakan berikutan serangan yang tidak berperikemanusiaan Israel ke atas Palestin yang mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Ulama terkemuka Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam fatwanya berkata:
“Setiap riyal, dirham… yang digunakan untuk membeli produk mereka akan akhirnya menjadi peluru-peluru yang digunakan untuk menembak saudara-saudara dan anak-anak di Palestin. Oleh itu, adalah menjadi kewajiban untuk tidak sekali-kali membantu (musuh Islam) dengan membeli produk mereka. Membeli produk mereka adalah menyokong tirani, penjajahan dan kekejaman”.

Oleh itu, kita semua berkewajipan memboikot barangan dan perkhidmatan Israel dan Amerika demi membantu saudara kita di Palestin selain membantu melalui sumbangan kewangan dan sebagainya. Namun begitu, sedarkah kita semua mengapa boikot ini sering diwar-warkan sehingga dikeluarkan fatwa bahawa pentingnya kita sebagai umat Islam memboikot Israel dan Amerika? Di antara tujuan utama mengapa kita wajib memboikot produk dan perkhidmatan daripada Yahudi ini kerana kita mahu menjatuhkan ekonomi, menyekat kemajuan, dan memaksa tentera Zionis menghentikan serangan terhadap Palestin.

Menurut Dr. Yusuf al Qaradawi, “Boikot merupakan usaha minimum yang dapat dilakukan setiap individu Islam jika dibandingkan dengan jihad yang dilakukan saudara Islam kita di Palestin dalam mempertahankan tanah air dan Masjidil Aqsa yang penuh keberkatan di sekelilingnya. Boikot merupakan satu demonstrasi persaudaraan Islam dan kesatuan ummah”. Syeikh Faisal Mawlawi dalam fatwanya juga berkata bahawa kita perlu memboikot Amerika kerana mereka terlibat dengan zionis dengan membantu dari segi kewangan dan senjata. Amerika setiap tahun memberi bantuan kewangan sebanyak empat juta dollar sebagai bantuan rasmi yang disifatkan beliau untuk digunakan dalam penghasilan senjata bagi menyerang Gaza. Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kita yang beragama Islam untuk tidak mengkhianati saudara kita yang berkorban setiap hari di barisan hadapan. Maka dengan cara ini kita tidak akan bersekongkol dalam memberi keuntungan kepada musuh Islam.

Dari sudut ekonomi pula, kita dapat melihat bahawa boikot amat memberi kesan terhadap Israel dan syarikat-syarikat yang menyalurkan keuntungan kepadanya. Menurut Prof. Madya Abdul Aziz bin Buang, pensyarah ekonomi Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia UTM Skudai, boikot merujuk kepada pemulauan barangan dan perkhidmatan sebagai tindak balas terhadap tindak-tanduk sesebuah negara atau organisasi atas sebab-sebab tertentu. Melalui usaha ini ia dapat memberi kesan yang kuat sekiranya usaha boikot ini dilakukan secara berterusan dan dalam jangka masa yang panjang, dengan syarat usaha ini perlulah dilakukan melalui kesatuan ummah atau dalam bahasa mudah; kita bersatu hati dalam menjayakan usaha ini. Usaha ini mampu mengakibatkan kesan yang besar terhadap kestabilan ekonomi Israel kerana melalui boikot, tahap jualan akan merosot dan ia menyebabkan kerugian seterusnya penutupan premis-premis perniagaan yang menyalurkan dana pada Israel. Ini dibuktikan pada tahun 2002, dua daripada enam francais McDonald’s di Jordan terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan.

Tidak boleh tidak, bagi memberi impak yang maksima terhadap usaha ini, barang alternatif amat memainkan peranan yang penting. Sebagai contoh produk makanan segera keluaran McDonald dan KFC perlu diganti dengan produk makanan keluaran tempatan yang sedia ada seperti Radix Fried Chicken (RFC). Coca-cola digantikan dengan Zamzam Cola yang pengeluarnya terdiri di kalangan orang Islam (Iran). Justeru itu, kita tidak lagi bergantung kepada syarikat luar malah kita turut membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan berteraskan Islam sepenuhnya *(bukan berkempen).

Di samping memastikan usaha ini berjaya, ia turut membantu pengusaha Islam tempatan mengembangkan lagi perniagaannya, seterusnya memberi kesan yang positif kepada pengembangan ekonomi Islam itu sendiri. Tambah beliau lagi, usaha memboikot ini merupakan satu usaha murni yang perlu dilakukan secara berterusan selain menyumbang dana kepada Palestin. Ini bermaksud, usaha memboikot bukanlah setakat memboikot semasa isu Palestin sedang hangat diperkatakan, tetapi ia perlu berterusan dan harus dilaksanakan secara istiqamah. Usaha ini tidak akan berhasil sekiranya pengguna masih lagi menggunakan barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang bersekongkol dengan Israel dan Amerika.

Oleh itu, boikot perlu dilakukan pada semua peringkat organisasi dan lapisan masyarakat baik kerajaan, NGO dan masyarakat pada umumnya. Dari sudut pandangan global, usaha memboikot dapat dijayakan lagi dengan meningkatkan perdagangan ekonomi di antara negara-negara Islam (OIC). Dengan ini kita tidak lagi bergantung kepada kuasa Barat dalam aktiviti perdagangan seterusnya berkembang maju sebagai mana zaman kegemilangan Islam di khulafa Al- Rasyidin, zaman Umayyah dan zaman Abbasiyah di mana Tamadun Islam menjadi Ustaziyatul ‘Alam (pusat rujukan dunia) dalam setiap urusan baik sekecil-kecil biji saga hinggalah sebesar-besarnya.

Bahagian 2:
Sebagaimana yang kelihatan hari ini, umat Islam semakin lemah dari segi pemikiran dan spiritual. Kehidupan harian disimbahi kemewahan dan hiburan. Nilai-nilai Islam kurang diberi perhatian. Maksiat berleluasa. Umat Islam semakin jauh dari ajarannya. Negara-negara barat menjadi contoh dan teladan dalam mengecapi kemajuan dan permodenan. Budaya-budaya barat dibawa masuk secara halus oleh golongan Yahudi sejak dari dulu lagi. Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.”
(al-Baqarah, 2:120)

Daripada ayat ini, Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa matlamat sebenar golongan yahudi ini ialah mereka hendak memesongkan akidah umat Islam. Sekarang mereka telah bertindak melalui ghuzwatul fiq (serangan pemikiran), menjadikan kita mengikut cara hidup mereka. Inilah apa yang dimaksudkan sebagai racun kepada umat Islam. Jadi, apa yang ingin disampaikan di sini ialah kita perlu memboikot sistem yang dicipta oleh mereka dan pemikiran sesat yang membunuh roh Islam kita. Sebagai contoh, kita memboikot mata wang Amerika tetapi dalam masa yang sama, kita mengamalkan riba dan segala macam muamalat yang bertentangan dengan ajaran Islam. Media massa dan media elektronik hari ini sebahagian besarnya dikuasai oleh barat. Dengan ini, mereka dengan mudah menyerap masuk budaya-budaya mereka sehinggakan generasi muda Islam hari ini semakin lumpuh daya pemikirannya dan semakin lesu semangat jihadnya.

Jelaslah di sini bahawa boikot amat memainkan peranan penting walaupun mengambil jangka masa yang panjang dalam memberi kesan terhadap Israel dan Amerika. Sebagai mahasiswa kita, perlu sedar bahawa boikot yang dilakukan bukanlah sekadar memboikot barangan dan perkhidmatan sahaja. Kita juga perlu memboikot gaya hidup, hiburan, pemikiran dan budaya yang dibawa oleh barat dan Israel yang mana ianya menjerumuskan diri kita ke arah perkara mungkar, syirik dan menjauhkan kita kepada yang makruf dan yang bercanggah dengan Islam. Ayuh! Teruskan usaha memboikot ini sebagai tanda kebersamaan dan kesatuan ummah kita dengan saudara kita di Palestin selain bantuan lain yang kita berikan.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang mukmin, baik diri mahupun harta mereka. Mereka berperang di jalan Allah; sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (sebagai) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah kamu dengan jual beli yang kamu lakukan itu, dan demikian itulah kemenangan yang agung.”
(at-Taubah, 9:111)

Saturday, January 24, 2009

Pengabaian al-Qur'an

"Dan ar-Rasul (Muhammad) telah berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Qur'an ini mahjura (diabaikan)"
(al-Furqan, 25:30)

RasuluLlah SAW telah mengadukan kepada Rabbnya, dalam keadaan sedih, kerana suatu petunjuk dan keterangan yang jelas itu hanya menjadi bahan abaian oleh kaumnya yang leka dan lalai.

Bagaimana baginda SAW tidak berasa sedih? Sedangkan kitab inilah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT, agar menjadi suatu keterangan yang jelas buat manusia, menjadi petunjuk buat orang-orang yang bertaqwa, menjadi sumber rujukan yang tidak ada lagi keraguan padanya dan menjadi peringatan buat mereka yang takut (kepada Allah dan hari pembalasan).

Adakah wujud orang yang dirinya tidak mahukan petunjuk yang jelas? Lalu dengan petunjuk tersebut dia memperoleh kejayaan yang hakiki? Bahkan manusia ini begitu lalai dan leka sekali, kerana ramai yang telah memperbuat sewenang-wenangnya terhadap al-Qur'an, iaitu dengan mengabaikannya; termasuk mereka yang mengaku dirinya seorang muslim.

Ramai dari kalangan manusia yang telah mengabaikan al-Qur'an, mereka mengabaikannya dalam empat cara:
  1. Mengabaikan tilawahnya. Kita teringat kisah seorang sahabat ketika RasuluLlah berkata kepadanya bahawa hendaklah al-Qur'an itu dikhatamkan selewat-lewatnya dalam sebulan. Ia seolah-olah nampak macam banyak, tetapi sebenarnya yang demikian adalah minima mentilawah al-Qur'an. Untuk khatam dalam tempoh satu bulan, seseorang itu hanya perlu membaca 4 muka surat dari al-Qur'an setiap kali selepas solat fardhu. Purata kadar membaca untuk 4 muka surat hanyalah sekitar 7 hingga 10 minit sahaja. Adakah 10 minit itu terlalu lama untuk membaca ayat-ayat Allah Yang Maha Agung?
  2. Mengabaikan taddaburnya. "Mengapakah mereka tidak mentadabbur al-Qur'an atau adakah hati mereka sudah terkunci?" (Muhammad, 47:24). Allah mempersoalkan kepada kita, agar hati kita sentiasa terbuka dengan kita mentadabbur kitab yang suci ini. Adakah ada ubat yang terbaik buat hati selain dari ayat-ayat dari al-Qur'an? "Dan Kami turunkan dari al-Qur'an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim (al-Qur'an) itu hanya akan menambah kerugian" (al-Isra', 17:82).
  3. Mengabaikan pengamalannya. "Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak perbuat? Amat besar kemurkaan di sisi Allah jika kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat" (as-Saff, 61:2-3). Juga kerana kita sentiasa mengingati sebuah hadith Nabi SAW: "Bukanlah iman itu dengan berangan-angan, bukan juga dengan perhiasan tetapi ia adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan 'amal" (ad-Daylami). Maka apa yang dibaca hendaklah diterjemahkan dalam bentuk amal, dan tidak hanya tinggal sebagai kalimah-kalimah yang tertinggal di atas mashaf atau yang disebut-sebut di bibir sahaja.
  4. Mengabaikan penghukuman dengannya. Sesungghunya, Allah telah mengingatkan kita dengan suatu ingatan yang tegas dan keras; "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang kafir" (al-Maidah, 5:44), kafir dengan erti kata; mereka ini menolak kesluruhan dari ayat-ayat Allah tanpa ada sedikit pun perasaan untuk mendengar, memahami dan memerhatikan kebenarannya. Maka golongan ini adalah golongan yang telah kufur dengan sebab sikap tersebut. Dan juga di dalam ayat yang lain, "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang zalim" (5:45). Zalim disebabkan mereka telah mengakui kebenaran apa yang terkandung di dalam al-Qur'an atau apa yang telah diturunkan oleh Allah, tetapi mereka tidak mahu mengamalkannya atau mengambil isi kandungannya sebagai suatu perlembagaan hidup. Maka mereka adalah orang-orang yang menzalimi diri mereka sendiri. Dan yang terakhir, "...barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang fasiq" (5:47). Fasiqnya mereka disebabkan hanya mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian yang lain. Hanya beramal dengan apa yang "sesuai" dengan diri mereka, dan meninggalkan bakinya. Tetapi mereka ini tidak menolak, bahawa keseluruhan al-Qur'an itu adalah benar dari Allah. Mereka adalah golongan yang fasiq.
Marilah kita sama-sama memperbaiki diri, dan berusaha mendekati al-Qur'an kerana ia merupakan salah satu wasilah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan agar kita dikurniakan kejayaan yang hakiki; "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah kamu di jalanNya, agar kamu berjaya (beruntung)" (al-Ma'idah, 5:35).

Wednesday, January 21, 2009

Serba Hitam..? FULLY BLACK?

"PEMAKAIAN SERBA HITAM (FULL BLACK ATTIRE)"???
Mungkin akan timbul sebarang persoalan dan juga isu berkenaan pemakaian ini. Jadi di sini akan dijelaskan mengapa kami memilih serba hitam sebagai tema bagi kempen SELAMATKAN GAZA.

Tujuan utama PAKAI SERBA HITAM (FULL BLACK ATTIRE):
  1. Hitam menggambarkan kesedihan, kesuraman, tindasan, kekejaman, days of darkness, dan ianya hanya sesuai untuk menggambarkan suasana apa yang kita lihat di Gaza, Palestin. Hari-hari rakyat Gaza ditimpa dengan bermacam-macam ujian yang pada akhirnya ia mengakibatkan kesedihan dan kerosakan.
  2. Hitam adalah satu warna yang universal di mana dengan mudah ramai orang memiliki simpanan pakaian berwarna ini. Berdasarkan pemerhatian umum, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan mempunyai pakaian berwarna hitam sama ada baju, seluar, tudung dan sebagainya. Apabila setiap orang mengenakan pemakaian berwarna tersebut menunjukkan impak yang hebat, berkuasa.
  3. Dengan pemakaian serba hitam (full black attire), dari kepala sampai ke kaki adalah bertujuan untuk keluar dari suasana harian yang biasa. Selalunya pemakaian warna hitam akan dikombinasikan dengan warna lain, ia sama seperti hari-hari yang biasa. Oleh itu, kami hendak melakukan kelainan supaya orang di sekeliling sedar dengan kempen yang dijalankan.
  4. Kami juga ingin agar semua orang peduli tentang isu ini. Cuba kita bayangkan apabila rata-rata orang di sekeliling memakai full black attire, pasti akan timbul di hati kenapa semua bertindak sedemikian. Secara tidak langsung akan timbul kesedaran kepada mereka yang tidak peduli tentang isu Gaza.

Sedarlah wahai pembaca sekalian, isu Palestin bukan hanya sekadar isu rakyatnya, isu umat Islam malah ia merupakan isu kemanusian yang harus diperjuangkan!

KEPRIHATINAN ANDA, KEKUATAN BERSAMA...KERANA KITA PEDULI!!!

Tuesday, January 20, 2009

Friday, January 16, 2009

Kepada mahasiswa untuk Palestin

Pembunuhan kejam rejim Zionis ke atas umat Islam di Palestin amat memilukan. Ia bukan sahaja mencabar perasaan dan ukhwah islamiyyah sesama orang Islam, malah turut menyentuh nilai kemanusiaan masyarakat dunia sejagat. Sebagai seorang mahasiswa, memang tidak dapat dinafikan kita disibukkan dengan jadual harian yang padat, namun adakah ini menyebabkan kita buta terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita?

Ketika kita sedang disibukkan dengan demam pilihanraya kampus, bilangan angka kematian di Palestin meningkat kepada 905 orang dan 3950 tercedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza(ketika artikel ditulis). Hari demi hari, rejim Zionis ligat melancarkan serangan ke atas Palestin. Tidak cukup serangan senjata pemusnah, Israel Zionis turut menggunakan senjata kimia berupa semburan gas fosforus putih yang mampu membakar sel-sel dalam badan manusia dan turut memberi kesan jangka panjang terhadap tubuh badan manusia.

Persoalannya, adakah kita sedar dengan tanggungjawab kita dalam konteks seorang mahasiswa berhubung isu ini? Sebagai seorang muslim , adalah menjadi kewajipan kita untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin. Tetapi bagaimana? Adakah dengan turut serta berjuang dengan mengangkat senjata bersama para mujahidin di sana? Sebenarnya, kita harus sedar yang kita turut mempunyai peranan kita sendiri walaupun hanya bergelar seorang mahasiswa. Kita sepatutnya menyedari bahawa kita sebagai mahasiswa sebenarnya mempunyai kuasa untuk bersuara. Kita tidak seharusnya melepaskan peluang yang terbuka luas ini untuk membantu saudara kita di sana.

Tidakkah kita sedar diri kita ini terdiri daripada golongan yang berilmu, golongan yang dihormati pandangannya. Oleh yang demikian, kita haruslah manfaatkan segala macam ilmu yang kita perolehi di bumi yang bertuah ini dengan mengaplikasikan sepenuhnya dengan menghasilkan idea-idea yang bernas untuk membuka mata dan minda manusia seluruh dunia. Dengan ilmu yang kita ada, jadikan ia satu wadah untuk kita menjana dan menggerakkan semangat untuk menentang yang batil dan menegakkan yang haq. Bukanlah ilmu yang kita perolehi itu hanya untuk digunakan untuk mencari pekerjaan semata-mata ataupun untuk kepentingan sendiri malah ia merupakan aset kita yang tidak ternilai harganya. Singkaplah kembali sejarah di mana ia telah membuktikan bahawa dengan ilmu ia mampu meledakkan suasana kegemilangan Islam seperti sejarah kegemilangan para sahabat, kerajaan Abbasiyah dan sebagainya sehingga mampu menakluki dua pertiga dunia kerana ilmu, iman dan roh keislaman yang jitu. Acuan kehebatan ini bermula daripada minda. Justeru ayat al-Quran yang pertama diturunkan adalah Iqra’ yang mana memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan kemantapan minda. Apabila minda manusia disinari ilmu dan kefahaman yang betul, ia memberi kesan yang positif kepada cara berfikir, menilai dan bertindak. Sedarlah sahabat-sahabatku bahawa kita mampu menghasilkan muslim kelas pertama berkualiti global kerana kita manusia yang berilmu.

Disamping itu, peranan kita sebagai pelajar adalah memberi kesedaran kepada semua dengan menggerakkan dan melakukan pentarbiyyahan dengan lebih effektif di kalangan mahasiswa terutamanya mahasiswa muslim itu sendiri. Memang tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir mahasiswa yang tidak peka dan menganggap isu palestin ini adalah tidak berkaitan dengan diri mereka sama sekali. Bagi mereka yang menyedari tentang tanggungjawab kita terhadap isu ini, perlu untuk kita mengejutkan sahabat-sahabat kita yang masih lena dengan dunia mereka sendiri untuk bangkit bersama-sama menentang kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh musuh-musuh Allah. Caranya dengan mengaplikasikan segala kemudahan teknologi yang telah sedia ada sama ada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Melalui kaedah ini, memang terbukti mampu mempengaruhi minda dan kefahaman kita semua tambahan pengaruhnya lebih cepat dan pantas. Selain itu, turut memberi impak yang besar melalui konsep pentarbiyyahan secara lisan seperti usrah, majlis ilmu, kuliah agama dan sebagainya kerana ia lebih dekat dengan jiwa yang dahagakan ilmu dengan pelbagai pendekatan yang lebih menarik mengikut arus kini. Melalui pentarbiyyahan ini, dapat memberi gambaran yang lebih jelas lagi tentang tanggungjawab kita sebagai manusia yang inginkan keamanan dan khususnya sebagai umat Islam yang cintakan persaudaraan sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa “Tidak sempurna iman seseorang itu selagi ia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana ia mengasihi dirinya sendiri.”

Jadi bertitik tolak dengan peranan ini ia mampu meningkatkan tahap kesedaran di kalangan mahasiswa bahawa kita turut bertanggungjawab tentang apa yang berlaku terhadap saudara kita di Palestin. Justeru itu ingatlah wahai sahabat sekalian, kita mempunyai aset yang tidak ternilai harganya iaitu ilmu. Dengan ilmu itu, cubalah kita manfaatkannya di jalan dan cara yang betul untuk kepentingan Islam, kerana Allah. Bukalah minda dan hati kita bahawa isu Palestin ini bukan hanya sekadar sebuah kisah peperangan tetapi sebuah kisah yang mempunyai banyak maksud yaang tersirat di mana kita sebagai umat Islam perlu bangun dan bersatu hati untuk meneruskan pejuangan para nabi dan rasul. Masih banyak lagi peranan yang perlu kita fikirkan dan mainkan untuk bersama-sama berjuang membebaskan Palestin dari terus ditindas oleh Yahudi laknaktullah. Ingatlah semua, masalah di bumi Palestin bukanlah masalah penduduk Palestin sahaja, tetapi ia merupakan masalah umat Islam walau di mana kita berada. Kita mesti tahu dan akur bahawa lecehnya pengetahuan kita tentang Palestin, adalah petanda bahawa lecehnya kita di sisi perjuangan Islam. Palestin adalah tanggungjawab kita bersama.

Thursday, January 8, 2009

Seruan Kelab Iqra' Terhadap Isu Palestin

--
BismiLlahirrahmanirahim,

Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas khatimil ambiya', Muhammad SAW, dan mereka yang menempuh jalannya sehingga hari kiamat.

Firman Allah swt bermaksud, "Allah menetapkan, 'Sungguh Aku akan memenangkan (agama) Aku dan Rasul-rasulKu. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, Maha Perkasa" (Al-Mujadilah, 58:21). "Sesungguhnya Kami akan memenangkan Rasul-rasul Kami dalam kehidupan di dunia dan di hari dibangkitkan saksi-saksi" (Ghafir, 40:51). Sabda Rasulullah saw bermaksud, "Akan terus dari umatku mereka yang terang-terang atas kebenaran. Tidak akan memudharatkan mereka oleh orang-orang yang memusuhi mereka sehingga datang ketetapan Allah, sedang mereka dalam keadaan sedemikian". Sahabat bertanya, "Di manakah mereka?" Rasulullah saw menjawab, "Mereka di Jerusalem dan di sekeliling Jerusalem (Palestin)".

Wahai pembaca sekalian!

Semenjak 60 tahun yang lalu (1948H), bumi para ambiya' ini telah diambil secara kasar oleh zionis yang terlaknat. Lebih-lebih dalam keadaan yang dunia Islam tidak mempunyai sistem Khalifah tertegak di muka bumi. Dalam keadaan inilah musuh-musuh agama ini membuat kerosakan di bumi yang suci tersebut. Iaitu bumi yang terletaknya kiblat pertama umat Islam (Masjid al-Aqsa), dan bumi tempat RasuluLlah SAW bermi'raj (dinaikkan) ke langit ketika peristiwa Isra' dan Mi'raj. Dan semenjak 60 tahun itulah, bermacam-macam kezaliman ditimpa ke atas rakyat Palestin yang tinggal di dalam negara tersebut.

Baru-baru ini, kita digemparkan lagi dengan berita-berita terburuk yang sampai dari Gaza, Palestin. Kita telah mengetahui bahawa rejim Zionis telah melancarkan serangan secara besar-besaran terhadap penduduk Palestin, yang telah bermula sejak 27 Disember 2008. Dan sehingga saat ini (artikel ditulis), sudah lebih daripada 520 orang yang telah dibunuh oleh rejim ganas zionis, dan beribu-ribu lagi yang telah dicederakan. Bahkan angka tersebut kian meningkat dengan mendadak dari masa ke masa.

Hal ini, dan keadaan umat Islam di seluruh dunia yang ditindas, jelas bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh RasuluLlah di dalam sebuah hadith daripada Thauban: "Akan datang suatu masa kamu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa seperti pelahap-pelahap mengerumuni makanannya". Sahabat bertanya: "Adakah disebabkan kami sedikit pada hari itu?" Baginda bersabda: "Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali! Akan tetapi kamu umpama buih seperti buih air bah. Dan Allah akan mencabut dari dada musuh kamu kegerunan terhadapmu. Dan Dia meletakkan di dalam hati kamu al-Wahnu" Sahabat bertanya: "Wahai RasuluLlah, apakah al-Wahnu?" Baginda bersabda: "Cintakan dunia dan bencikan kematian" (Abu Daud, Ibnu Majah).

Sesungguhnya hadith ini memberikan pengertian yang sungguh mendalam buat kita, ummah di akhir zaman. Kerana di dalam hadith ini RasuluLlah SAW telah menyebut beberapa faktor yang menyebabkan ummah ini lemah sehingga keadaan ini menimpa mereka:
  1. Kosongnya hati individu muslim dari iman yang mendalam. Ini dilihat dalam makna ketika Rasulullah mengumpamakan kita sebagai buih, yang wujud luaran sahaja. Dalamnya kosong sekosongnya. Andaikata luaran itu pecah, maka tiada lagilah individu muslim tersebut.
  2. Cintakan dunia. Betapa ramainya dari kalangan ummah ini yang dirinya disibukkan dengan urusan dunia sehinggakan hatinya berjaya dicengkam oleh urusan tersebut, dan sehingga hatinya merasa kecenderungan ke arah itu.
  3. Bencikan kematian merupakan petunjuk bahawa semangat jihad dan perjuangan telah hilang dari dada ummah. Ummah ini hilang kekuatannya dengan hilangnya semangat tersebut, dan kita umpama singa yang telah bertukar menjadi anak kijang.

Pembaca yang dihormati!

Kita hendaklah mengeluarkan diri kita dari keadaan yang hina ini sesegera mungkin. Jika tidak, dosa pasti akan menimpa ummah ini lantaran kezaliman yang tertimpa ke atas ahlinya di kawasan-kawasan tertindas. Sesungguhnya, saudara kita dari HAMAS dan gerakan jihad yang lain di Palestin, telah mewakili kita bagi menghadapi pertempuran ini dengan jiwa dan raga mereka. Seperti mana yang pernah disebutkan oleh Dr. Khalil al-Hayya: "AlhamduliLlah, Allah memilih kami yang berada di Palestin supaya berjihad. Kami dipilih bagi menjadi barisan hadapan kepada umat Islam. Kami dipilih oleh ALLAH bagi mengorbankan jiwa, nyawa, harta, anak-anak kami supaya menentang musuh ALLAH dan mempertahankan Masjid Al-Aqsa". Mereka mengorbankan segala apa yang mereka miliki untuk mempertahankan harta kepunyaan ummah. Dan mereka telah melakukannya sejak puluhan tahun yang lalu. Apabila peristiwa di Gaza tercetus, maka mereka jugalah kumpulan yang pertama menfinfaqkan diri mereka untuk melawan dan menentang musuh-musuh Allah.

Kita juga harus melakukan sesuatu, wahai saudara yang budiman! Dengan segala kemampuan dan kapasiti yang ada pada kita, kita harus bertindak dengan cepat untuk mengeluarkan ummah yang tenat ini dari ditindas secara berterusan. Kerana ummah ini umpama satu badan, jika kepala sakit nescaya seluruh badan akan terasa kesakitannya. Dan juga kerana kita ingat kepada sebuah sabda Nabi SAW: "Mu'min dengan mu'min umpama satu bangunan, sebahagiannya memperkukuhkan sebahagian yang lain" (Bukhari). Tetapi persoalannya, apa yang anda boleh sumbangkan? Apa yang boleh anda lakukan sebagai seorang mahasiswa?

Wahai ummah Muslimin! Wahai ummah yang kasih akan saudaranya!

Sesugguhnya kita harus melihat dalam dua perspektif; (1) Tindakan untuk kesan jangka masa pendek atau tindakan segera, dan juga (2) tindakan untuk kesan jangka masa panjang.

Untuk yang segera, yang boleh dilakukan dengan serta merta dan dapat dilihat kesannya dengan cepat ialah:
  1. Mengambil tahu update-update terkini berkaitan dengan isu Palestin dan Gaza. Baca dari sumber-sumber berita yang boleh dipercayai maklumatnya, seperti; www.palestine-info.com, palestinkini.info, www.al-ikhwan.net dan lain-lain. Jangan dengan mudah mempercayai maklumat dari media barat.
  2. Menyebar dan menyampaikan maklumat-maklumat yang tepat tersebut kepada seramai mungkin kenalan anda, dalam apa jua bentuk yang mudah bagi anda. Sekiranya anda mempunyai kelebihan mendesign poster, maka designlah dan sebarkanlah sehingga semua orang sedar dengan isu yang sedang berlaku ini.
  3. Sumbanglah apa-apa yang anda mampu berupa kewangan kepada NGO-NGO yang boleh dipercayai dan mempunyai track record yang bagus, seperti AMAN Palestin dan Mercy Malaysia.
  4. Bersatu hati dengan semua golongan umat Tauhid ini, dan melupakan semua perselisihan hal furu' (cabang).
  5. Bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama.
  6. emperbanyakkan doa kepada Allah khasnya buat saudara-saudara di Gaza, Palestin, dan buat ummah ini secara amnya. Selitkan di dalam doa-doa selepas solat anda; "Ya Allah, tolonglah saudara-saudara Muslimin kami di Gaza dan di juga di seluruh dunia".
  7. Memperbanyakkan taubat kepada Allah di atas dosa-dosa yang telah kita lakukan, mudah-mudahan iman mudah mekar di hati, lalu terkeluarnya penyakit al-Wahnu yang RasuluLlah SAW sebut.
  8. Memboikot barang-barangan yang menyumbang dengan jelas dan terang kepada Zionis.

Untuk jangka masa panjang pula, agar ummah ini keluar dari keadaan ini selamanya:
  1. Berusaha mencari dan memahamkan diri dengan Deen yang mulia ini. Carilah kefahaman kerana "Barangsiapa yang Allah menghendaki dia memperoleh kebaikan, maka Dia memahamkan dia tentang deen" (HR. Syaykhan).
  2. Carilah dan bergabung dengan persatuan-persatuan Islam yang dirasakan mampu mempercepatkan berlakunya hal (1) di atas.
  3. Bersama-sama dengan persatuan-persatuan Islam yang mampu dengannya terdidik al-imanul 'amiq (keimanan yang mendalam), terlaksananya takwin daqiq (pembentukan yang rapi dan kemas) dan amal mutawassil (usaha dan amal yang berterusan). Kerana kita ingin agar ummah ini tidak lagi dizalimi selama-lamanya.
  4. Dan buat persatuan-persatuan Islam di bumi UTM ini, marilah kita bersama-sama memperkasakan da'wah dan tarbiyah. Agar pada masa hadapan, zionis dan musuh Allah yang lain tidak mampu untuk sentuh ummah ini walau sedikitpun insya Allah.

Wahai para pemuda ummah!

Akhir sekali, Kelab Iqra' ingin menyeru kepada semua pihak dari kalangan warga kampus, tidak kira sama ada pelajar ataupun kakitangan, agar kita secara bersama dan kolektif berusaha ke arah memperbaikkan ummah dalam jangka masa pendek dan panjang. Kerana tanggungjawab tersebut adalah tanggungjawab bersama. Saudara-saudara di Palestin telah menyelesaikan janji mereka kepada Allah, kini kita pula yang menunggu-nunggu dan tetap thabat di atas jalanNya: "Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak mengubah sedikitpun janji mereka itu" (al-Ahzab, 33:23).

"Dan katakanlah: Beramallah kamu! Nescaya kelak Allah akan melihat amalan kamu, dan rasulNya beserta orang-orang yang beriman. Dan kamu akan dikembalikan kepada yang Maha Mengetahui perkara ghaib dan yang nyata dan kamu akan dikhabarkan dengan apa yang kamu perbuat" (at-Taubah, 9:105).

'Ammar Taqiyuddin bin Ainullotfi
Presiden
Kelab Iqra'
UTM Skudai

Monday, January 5, 2009

Sedekahkan Qunut Nazilah Utk Saudara2 SeISLAM kita di Palestin


"Ya Allah,Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh2 kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan2 mereka
Ya Allah,Leburkanlah kumpulan2 mereka.Pecah belahkan dan kacau bilaukan persatuan mereka.Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing2 kamu kepada mereka.
Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa. Wahai Tuhan Yang Penuh Raksasa Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka.
Ya Allah Ya Allah Ya Allah
Wahai Tuhan yang menurunkan kitab, Wahai Tuhan yang mengarakkan awan Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab, kalahkan mereka. Kalahkan mereka Kalahkan mereka Dan menangkan kami ke atas mereka.."


Ya Allah ya Qahhar ya Jabbar ya Sattar..Fansurna A'lal Kuffar fi Jihadil Akbar..
ALLAHU AKBAR!!

Sunday, January 4, 2009

Pengeboman Di Pasar Gaza



"Dari kalangan orang-orang beriman terdapat mereka yang benar janji mereka kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah Syahid. Dan sebahagian lagi masih menunggu dan mereka tidak menrubah sedikitpun janji mereka itu."
(Al-Ahzab, 33:23)

Thursday, January 1, 2009

Doa Untuk Gaza

Sehingga kini beratus-ratus saudara kita di Gaza telahpun gugur lantaran diganyang peluru Zionis. Kita merasa cukup ‘helpless’ mendengar berita-berita yang sampai. Apa yang boleh kita lakukan?

Setidak-tidaknya seharusnya kita berdoa untuk keringanan penderitaan saudara-saudara kita serta kemenangan dan kemuliaan Islam. Berikut dinukilkan beberapa doa yang mungkin boleh dipanjatkan di dalam munajat sdr semua di celah-celah keheningan malam sdr bertahajjud, ataupun bila-bila masa sesuai, insya Allah.

Selain daripada itu, sekiranya sudi, mungkin boleh juga hulurkan bantuan kewangan dan kebendaan melalui NGO-NGO Islam seperti Aman Palestin. Sejurus sebelum krisis terakhir ini, Aman Palestin memang telah menyampaikan USD60 ribu bagi bantuan perubatan ke Gaza. Kini mereka lebih-lebih lagi memerlukan sokongan seumpama ini.

Apapun peristiwa ini menuntut kita semua untuk:

(a) Bersatu sebagai satu umat Tauhid dan melupakan semua perbezaan furuk dan cabang.
(b) Bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama.
(c) Menyumbang apa sahaja wang ringgit, derma, doa serta sokongan moral.
(d) Memperkasakan da'wah dan tarbiyah agar dalam jangka masa panjang kita berjaya halang kekejaman ini secara permenant.

--
Doa:

"Ya Allah! Sesungguhnya hanya Engkau sahaja yang mengetahui betapa dahsyatnya bala bencana yang sedang menimpa saudara-saudara kami di Gaza sekarang. Begitu juga hanya Engkau sahaja yang mengetahui betapa lemah dan cuainya kami. Wahai tuhan kami! Kepada siapakah lagi kami mengadu sedangkan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Berkuasa? Kepada siapakah kami memohon pertolongan sedangkan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Memberikan Pertolongan? Kepada siapakah kami memohon bantuan sedangkan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Memaksakan (kehendakNya)?"

"Wahai Tuhan yang ditanganNya segala kunci kelepasan! Lepaskanlah dan hilangkanlah segala kedukaan yang sedang menimpa saudara-saudara kami itu."

"Wahai Tuhan Yang Maha Mulia, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Memaksa, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Menguasai, Tuhan yang tidak boleh ditewaskan oleh sesiapa di langit dan di bumi! Perturunkanlah azab dan seksaMu terhadap Yahudi Freemason dan sesiapa yang membantu mereka terhadap orang-orang Islam."

"Wahai Tuhan yang pada tangannya penguasaan segala urusan! Wahai Tuhan yang merubah segalanya sedangkan dirinya tidak berubah! Sesungguhnya kami amat merindui kemuliaan Islam. Kami memohon kepadaMu kemenangan yang memuliakan Islam dan penganutnya, serta menghinakan kebatilan dan pendokongnya."

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:
iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com
Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!