Pages

Monday, September 15, 2008

Ramadhan: Batalkah Puasa Anda Jika...

Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87).

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah:

1) Raih Taqwa:
Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran:
Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed':
Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai:

1) Darah keluar dari tubuh; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya: Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali (Bidayatul Mujtahid, 1/247).

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah@faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh:

Hukumnya: Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah:

Hukumnya: Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226).

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya: Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan: Pandangan majoriti adalah: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268; Yasalunaka, 5/53 dll).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya: Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith: "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa (Riwayat Abu Daud, no 142; At-Tirmidzi, 788; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi; Albani; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat:

Hukumnya: Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat (Qaradawi, hlm 104). Nabi bersabda: "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya: Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya: "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311; Syuaib arnaout: Sohih)

Dan satu lagi adalah,

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya: Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya: Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi: Jangan; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama: Jawab nabi: Ya (tiada masalah); kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"Aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif).

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya" (Fiqh As-Siyam, hlm 106).

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201).

Dalilnya adalah:

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya: "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" (Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih).

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak..?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi (Al-Mughni, 4/159).

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur

Hukum: Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya (Al-Mughni, 4/175).

Sekian,
UZAR
13 Sept 2007
01 Ramadhan 1428 H

Sumber asal: Zaharuddin.net

Jangan Merajuk Wahai Da'ie

Hidup ini menuntut mujahadah berterusan. Setiap hari pasti ada sahaja perkara yang perlu di usahakan. Seringkas bangun pagi memerlukan kekuatan menolak keseronokan tidur yang lena. Begitu juga dalam kesungguhan mengulangkaji pelajaran, kesabaran melayani kerenah sahabat handai, hinggalah keteguhan mendirikan Islam dalam diri setiap insan. Inilah kehidupan, tidak lari dari, suka duka, perit jerih, dan susah payah. Apatah lagi bagi tiap jiwa yang dalam sedar berikrar menyerahkan diri mereka kepada Allah, menggelar diri sebagai Dai'e, mengajak jiwa-jiwa kembali tunduk pada Allah yang Esa. Malah mereka lagi perlu menunjukkan kesungguhan dalam tiap perkara, mengelak fitnah menimpa...

Yang pastinya, dalam kesungguhan pasti ada mehnah melanda. Dalam saat seronok mengajak manusia kembali ke jalan Allah, kita terlupa bahawa hati-hati itu ada pemegangnya, yang mengawal tutup buka nya ia. Membuatkan kita kecewa dan putus asa apabila usaha tidak membuahkan hasil seperti yang dijangka. Membuatkan kita terlupa tugas kita hanya pemberi peringatan, sedangkan natijahnya di bawah takdir Allah yang Maha Kuasa. Bak kata pepatah `menabur benih di bumi, hasilnya dari Ilahi'. Di saat hati rajuk, mencari hikmah atas apa yang menimpa, Al-Quran menjadi tempat kembali, isinya penuh istimewa, pasti sesuai di setiap keadaan dan masa. Namun, bergantung kepada kesediaan hati itu untuk mengaitkannya dalam kehidupan, mengambil manfaat dari tiap bait Kalamullah...

Siapa sangka, kisah Nabi Yunus a.s yang tidak selalu diceritakan mampu memberi seribu pengertian dalam kehidupan...

Nabi Yunus menyeru pada kaumnya
Sembahlah Allah Yang Maha Esa
Tinggallah berhala yang tidak bernyawa
Jauhi perbuatan yang sia-sia Seruan Nabi tidak diterima
Nabi diejek dan Nabi dihina
Baginda tidak berputus asa
Walau dicaci walau dihina
Akhirnya Nabi merasa hampa
Umatnya masih menderhaka
Lalu dia pergi membawa hati Ke tepi pantai seorang diri
Kapal pedagang Baginda menumpang
Membawa diri ke rantau orang
Malangnya laut bergelombang
Hampir karam ditengah lautan
Bila diundi Nabi merelakan
Terjun ke laut penuh bergelora
Baginda ditelan ke perut Ikan Nun
Gelap gelita tidak terkira
Sedarlah baginda akan silapnya
Ditarbiyyah Allah sebegitu rupa
Menangislah Nabi penuh duka
Memohon Ampun dari Tuhannya

Begitulah kisah seorang Nabi diuji Allah begitu sekali…

Wahai Dai'e Rabbani, cukuplah kisah Nabi Yunus a.s pemujuk diri, jangan diikut rajuk di hati, usah dilayan kecelaruan emosi, tergesa-gesa melarikan diri dari situasi. Melangkahlah dengan penuh hikmah dan kesabaran dalam meneruskan da'wah lillahi. Begitulah di kala Nabi Yunus lari dari kaumnya yang ingkar, rasa marah dan kecewa hingga terlupa tugas beliau menyampaikan ajaran yang hasilnya adalah dari Tuhan.

Menyoroti kehidupan Dai'e, tidak ubah seperti kisah ini, siapalah kita meletakkan hidayah dihati manusia kerana ia adalah urusan Ilahi, hanya usaha yang akan dipersoalkan nanti. Hadamlah kalam Allah apabila Dia berfirman:
"Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan hanya sebagai pembawa kabar gembira dan pemberi peringatan. Katakanlah: 'Aku tidak meminta upah sedikitpun kepada kamu dalam menyampaikan risalah itu, melainkan (mengharapkan kepatuhan) orang-orang yang mahu mengambil jalan kepada Tuhannya'."
(al-Furqan, 25:56-57)

Dalam kegelapan perut ikan Nun, hati Nabi Yunus a.s mulai bergerak bertasbih kepada Allah, memohon taubat kerana putus asa dengan rahmat Tuhannya sambil berkata:
"Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim."
(al-Anbiyaa', 21:87)

Dengan ketulusan hati berdoa, mengakui kesempurnaan ketuhanan dari sebarang kekurangan dan kelemahan, mengakui kezaliman diri, akhirnya taubat Nabi Yunus a.s di terima. Allah menyelamatkan beliau dari kecelakaan mati di dalam perut ikan Nun kepada kesejahteraan hidup bersama kaumnya yang kembali kepada jalan Ilahi. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, segalanya mungkin terjadi, asalkan hati jernih mengharap redhaNya. Apa lagi yang Dai'e mahukan selain ketenangan dalam kehidupan seharian. Walaupun penuh ujian, hati penuh taubat mengakui kesalahan...

Inilah Dai'e Rabbani, tidak takut menghadapi salah, tetapi lekas kembali kepada Allah yang Maha Pemurah. Memujuk hati mencari hikmah mengakui kelemahan insani. Berbekal ibadat di kala senang, menjadi keselamatan di waktu susah. Tabah dan sabar dalam berdakwah tanpa mengira ketidakberhasilan hidayah, kerana tiap langkah di atas jalan ini adalah kejayaan...

sumber: bahantarbiyyah.info

Sunday, September 7, 2008

Kesilapan kerap muslim di Ramadhan

(artikel ini telah disiarkan tahun 2006 dan 2007 yang lalu, disiarkan semula bagi manfaat bersama, terdapat beberapa perkara yang telah ditambah)

Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah:

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, ertinya: "Sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari).

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW (Fath al-Bari, 4/138).

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya: "dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat: 18).

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya: Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat): "Wahai Rasulullah, waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah SWT)?" Jawab Nabi: "Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu." (Riwayat At-Tirmidzi, no 3494, Tirmidzi & Al-Qaradhawi: Hadis Hasan; Lihat Al-Muntaqa, 1/477).
4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih. Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam" (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat" (Riwayat al-Bukhari).

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah (al-Jami' as-Soghir; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291).

10) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh) (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278).

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan:

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya: Menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit: 'Wahai Tuhanku... Wahai Tuhanku...' sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya (Riwayat Muslim, no 1015, 2/703).
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram? Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.

13) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut:

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya: "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" (Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir: Sohih).
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya: "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" (Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi: Sanadnya sohih)
Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Saturday, September 6, 2008

Forum Colours of Ramadhan

AlhamduliLlah, sesuai dengan izin Allah program ini berjaya dijalankan dengan kehadiran yang menggalakkan dari pelbagai lapisan masyarakat. Suatu forum yang lain daripada yang lain telah dianjurkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Kelab Iqra'. Lain kerana ahli panel pada kali ini datang dari bermacam-macam tempat dan negara berlainan. Ada yang dari Myanmar, Yemen, Turki dan China. Suatu perkongsian yang menarik yang diberikan oleh setiap individu untuk menceritakan tentang keadaan dan suasana penyambutan Ramadhan sesuai dengan tempat masing-masing.

Suatu hakikat yang Allah sebutkan di dalam al-Qur'an:
"Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya kami telah menciptakan kamu, dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersekutu-sekutu agar kamu saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa dari kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."
(al-Hujurat, 49:13)



















Friday, September 5, 2008

MIFTAR 08

Salam...

Makluman untuk bebudak semua...
Datanglah beramai-ramai...

MAJLIS ILMU + IFTAR (MIFTAR 08)

Tajuk:

"Colours of Ramadhan"

Ahli Panel:
Dari China, Myammar, Turki dan Palestin


Tempat:
Dewan al-Ghazali
Masjid Sultan Ismail, UTM


Tarikh:

6 September 2008 (Sabtu)

Masa:
5.00-6.45pm

Note:
Makanan berbuka disediakan... Moh datang beramai-ramai..!

iLaL LiQa'

Nama dan Sifat al-Qur'an (3)

Pada pembahasan sebelumnya telah kami sebutkan nama-nama lain dari Al-Qur'an; Al-Qur'an dan Al-Kitab. Dan pada kesempatan ini kita membahas nama-nama lain dari Al-Qur'an, dan merupakan pembahasan terakhir -insya Allah- tentang nama-nama Al-Qur'an:

3. Ad-dzikru (Keagungan)

Allah SWT berfirman : "Shad. Demi Al-Quran yang mempunyai keagungan". (Shad : 1-2) dan Firman Allah : "Dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan" (An-Nahl : 44).

Dalam Al-Quran kata "Adz-Dzikru Al-Majid –Keagungan yang mulia" ditujukan kepada umat Islam, karena sebelumnya Al-Quran diingkari dengan pengingkaran yang keras, hidup dan mati tidak dirasakan oleh seorangpun. Kemudian Al-Quran meninggikan kedudukannya dan menempatkan ke tempat yang mulia, menyelamatkan kehidupan manusia, dan menjadikannya sebagai pemimpin dan panutan, menjadi pusat guru/pembimbing, penasehat dan pelindung. Dan umat –umat islam- ini tidak dikenal kecuali karena komitmen dengan nasehat robbani, muncul dengannya dan menonjol dari sisinya. Allah berfirman : "Sesungguhnya telah Kami turunkan kepada kamu sebuah kitab yang di dalamnya terdapat sebab-sebab kemuliaan. Maka apakah kamu tidak memahaminya". (Al-Anbiya : 10) dan Firman Allah : "Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggungan jawab" (Az-Zukhruf : 44)

"Adz-Dzikru" yang membawa berkah ini tidak akan memberikan faedah darinya kecuali bagi siapa yang memiliki hati yang hidup dan bergerak, sehingga keagungan Rabbani menyatu dengan hati dengan iman, hidup akan berjalan bersama Al-Quran menuju hati hinnga mampu menghidupkannya lebih bergairah. Akan tampak karakteristik kehidupan Qurani pada gerak-geriknya, dan tampak melalui prilaku yang menjadi buah yang matang baginya di tengah realita kehidupan. Allah berfirman : "Dan Kami tidak mengajarkan Sya'ir kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al-Quran itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi peringatan. Supaya dia –Muhammad- memberi peringatan kepada orang-orang yang hidup –hatinya- dan supaya pastilah –ketetapan – azab terhadap orang-orang kafir". (Yasin : 69-70)

4. Ar-Ruh

Allah berfirman : "Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahyu - Al-Quran- dengan perintah Kami. Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui Al-Kitab - Al-Quran- dan tidak pula mengetahui apakah iman itu. Tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang Kami tunjuki dengan dia siapa yang Kami kehendaki diantar hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus". (Asy-Syura : 52) kita ambil ayat ini berdasarkan hakekatnya, dan kita ambil karakteristik ini berdasarkan lahirnya. Karena Ruh yang sebenarnya hidup adalah kehidupan itu sendiri. Manusia dianggap mati diantara mayit yang lainnya, maka akan mati hatinya, begitupan perasaan dan panca indranya. Namun kemudian, akan hidup kembali bersama ruh Qura'ni yang menghidupkan, dengan ruh ini akan terbuka hatinya, indranya dan eksistensinya, sehingga dapat bergerak di dalam hatinya suatu kehidupan. Maha benar Allah yang telah berfirman : "Dan apakah orang yang sudah mati dia Kami hidupkan dan Kami berikan dengan cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar dari padanya? Demikianlah Kami jadikan oran gyang kafir itu memandang baik apa yang mereka kerjakan". (Al-An'am : 122)

5. An-Nur (Cahaya)

Al-Quran merupakan cahaya yang menyinari hati orang yang beriman yang hidup dengan keimanan, menyinari kehidupannya hingga hidup menjadi cerah baginya, menyinari di bawah langit umat ini hingga menjadi sinar yang menerangi, memberi kebahagiaan, petunjuk dan kebaikan, menyinari umat manusia hingga dapat mengenal asalnya dan memberi petunjuk pada jalannya –jika hanya menginginkan jalan yang lurus-. Allah berfirman : "Sesungguhnya telah datang kepadamu Rasul Kami, menjelaskan kepadasmu banyak dari isi Al-Kitab yang kamu sembunyikan, dan banyak (pula yang ) dibiarkannya. Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan Kitab yang menerangkan. Dengan Kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridloan-Nya ke jalan keselamatan. Dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus". (Al-Maidah : 15-16) dan Firman Allah : "Maka berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada cahaya (Al-Quran) yang telah Kami turunkan. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". (At-Taghobun:8)

6. Al-Furqan (Pembeda antara yang haq dan bathil)

Dengan Al-Quran seseorang dapat membedakan antara yang haq dan bathil, antara petunjuk dan kesesatan, antara cahaya dan kegelapan, di dalamnya terdapat satu-satunya kebenaran, hidayah dan cahaya, selainnya adalah bathil, sesat dan gelap…Allah berfirman : "Dia menurunkan Al-Kitab (Al-Quran ) kepadamu dengan sebenarnya; membenarkan kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil. Sebelum (Al-Quran ), menjadi petunjuk bagi manusia. dan Dia menurunkan Al-Furqon". (Ali Imron : 3-4) dan Firman-Nya : "Maha suci Allah yang telah menurunkan Al-Furqon (Al-Quran) kepada hamba-Nya agar dia mengambil peringatan kepada seluruh alam". (Al-Furqon : 1)

7. Al-Burhan (Bukti yang Nyata)

Al-Quran adalah bukti yang datang dari Allah untuk hamba-hamba-Nya, memberikan dengannya hujjah atas mereka, menampakkan darinya dalil-dalil yang jelas dan kuat terhadap tema-tema, nilai-nilai dan hakekat-hakekatnya baik dalam hal akidah dan kehidupan. Dan setiap orang yang berinteraksi dengan dalil-dalil Al-Quran dalam kemudahannya dan kegamblangannya, disertai dengan interaksi hati dan akal, lalu dihubungkan dengan dalil-dalil dan bukti-bukti serta neraca yang diberikan, ditentukan dan dibangun oleh akal manusia. Bagi siapa yang melakukan itu semua akan dapat memahami sebagian sisi dari bukti Al-Quran, kemudahan dan kegamblangannya. Allah berfirman : "Wahai sekalian manusia telah datang kepada kalian bukti yang nyata dari Tuhan kalian, dan Kami turunkan kepada kelian Cahaya yang nyata..Maka bagi siapa yang beriman kepada Allah dan berpegang teguh kepadanya maka kelak akan dimasukkan ke dalam rahmat yang datang dari-Nya dan karunia, dan diberikan petunjuk kejalan yang lurus". (An-Nisa : 174-175)

8. Mauidzhah (Nasehat) dan Syifa (Penyembuh), Petunjuk dan Rahmat bagi orang-orang yang beriman

Allah berfirman : "Wahai manusia, telah datang kepadamu (Al-Quran ) Pemberi nasehat dari Tuhanmu, penyembuh dari apa yang ada didadamu, petunjuk dan Rahmat untuk orang-orang yang beriman". (Yunus : 57)

Al-Quran adalah nasehat dari Allah, apakah ada nasehat yang lebih baik selain nasehat rabbaniyah? adakah ada nasihat yang lebih diterima oleh hati dan dlomir daripada nasihat yang terdapat dalam Al-Qur'an? Sesungguhnya nasehat-nasehat manusia walaupun memiliki balaghoh pengaruh yang tinggi, akan lemah berhadapan dengan nasehat Quraniyah atau mendekat darinya. Sekiranya para duat, pemberi nasehat menggunakan nasehat Quraniyah dan mengajarkan kepada umat Islam dengannya, maka akan lebih cepat merasuk ke dalam hati dan memberikan pengaruh kepada prilaku mereka serta memberikan kebaikan pada kehidupan mereka. Jika ada hati yang tidak mau menerima nasehat Quraniyah maka sebenarnya hatinya telah mati sehingga tidak bisa dimanfaatkan kembali.

Nasehat Quraniyah akan melahirkan penyembuh di dalam dada, menyelesaikan apa yang ada di dalam hati dari berbagai penyakit, kotoran dan najis, untuk dikembalikan kepada asalnya, malakukan aktivitas sesuai dengan fitrahnya seperti yang telah Allah tetapkan fitrah tersebut kepada manusia, dan Al-Quran mampu –dengan seizin Allah- menyembuhkan dada dan hati dari berbagai penyakit materi dan jiwa, penyakit syubhat dan syahwat, penyakit mengikuti hawa nafsu dan penyimpangan, penyakit keraguan dan syirik, penyakit jiwa, penyakit panca indra dan anggota badan lainnya, penyakit politik, ekonomi, akhlak, masyarakat, kehidupan dan kebudayaan.

Dengan pemahaman yang luas dan universal ini, maka kita wajib memperhatikan akan kesembuhan hati, menerimanya dengan lapang dada dan teliti, tidak melemahkan kita atas berbagai penyakit. Maha Benar Allah dengan Firman-Nya : "Dan Kami menurunkan Al-Quran yang terdapat di dalamnya Syifa (Penyembuh) dan Rahmat untuk orang-orang yang beriman". (Al-Isra : 82).

Dalam ayat dijelaskan bahwa nasehat pada suatu penyakit, kesembuhan Al-Quran untuk umat manusia secara keseluruhan, sebagaimana tahmat dan hidayah-Nya dikhususkan untuk orang-orang yang beriman, karena iman merupakan syarat utama untuk mendapatkan hidayah dan rahmat tersebut.

9. Bashair tahdi (Cahaya Hidayah)

Allah berfirman : "Sesungguhnya telah datang dari Tuhanmu bukti-bukti yang terang; maka barangsiapa melihat (kebenaran itu) maka (manfaatnya) bagi dirinya sendiri; dan barangsiapa buta (tidak melihat kebenaran itu) maka kemudharatannya kembali kepadanya. Dan aku Muhammad sekali-kali bukanlah pemeliharamu". (Al-An'am : 104) Allah juga berfirman : "Inilah bukti-bukti yang nyata dari Tuhanmu, pemberi petunjuk dan Rahmat bagi kaum yan gberiman". (Al-A'raf : 203) Allah berfirman : inilah bukti-bukti yang nyata untuk manusia petunjuk dan rahmat bagi kaum yang yakin". (Al-Jatsiah : 20)

Dan inilah bukti-bukti Al-Quran; Pemberi petunjuk yang diberikan kepada manusia seluruhnya, namun bukti ini tidak bisa difahami kecuali dengan hati yang hidup, sehingga dirinya memiliki semangatan dalam berinteraksi dengannya, dan petunjuk dengannya dan memberi hidayah atas asasnya. Sesungguhnya setiap tubuh memiliki mata yang digunakan untuk melihat, hati memliki bashair yang dapat menerima petunjuk. Mata adalah bagian dari badan sedangkan bashair adalah hati, jika badan dan anggota tubuhnya tidak rusak maka manusia bisa hidup tanpanya, namun jika hati yang rusak maka ia akan buta dan tidak bermanfaat setelahnya kebaikan-kebaikan. Maha Benar Allah dalam Firman-Nya : "Maka apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu mereka mempunyai hati yang dengan itu mereka dapat memahami atau mempunyai telinga yang dengan itu mereka dapat mendengar? karena sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang didalam dada". (Al-Hajj : 46)

Bashoir Quraniyah yang memberi petunjuk ini dapat diterima oleh hati yang beriman dapat membuka jendela-jendela dan celah-celahnya sehingga imannya, petunjuk, istiqomah dan keyakinannya terus bertambah, adapun hati yang keras dan kufur, maka akan tertutup pintunya di hadapan bukti-bukti ini, tdak ada yang dapat menutupnya selainnya, dan akan tetap tertutup. Maka bagaimanakah hidayah akan masuk ke dalamnya, kecuali akan bertambah kekufuran, najis, kegelapan dan buta. Allah SWT berfirman : "Dan apabila diturunkan suatu surat, maka diantara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata : "Siapakah diantar kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surat ini ?" Adapun orang-orang yang beriman , maka surat ini menambah imannya, sedang mereka merasa gembira. Dan adapun orang-orang yang didal hati mereka ada penyakit, maka dengan surat itu bertambah kekafiran mereka, disamping kekafirannya (yang telah ada) dan mereka mati dalam keadaan kafir". (At-Taubah : 124-125)

Kita tutup pembicaraan tentang karakteristik, nama-nama, sifat-sifat, pengaruh-pengaruh dan nilai-nilainya dengan ayat ini yang menjelaskan tabiat Al-Quran, kehidupan yang produktif dan kegairahan orang-orang beriman dengannya saat mendengar ayat-ayat Al-Quran, menggerakkan hati orang-orang yang beriman, jeli, lemah lembut, pengaruh yang berurutan dari itu semua akan tampak atas anggota badan dan kulit, kemudian hasil dari ini semua adalah petunjuk robbani yang dijadikan sebagai buah keberkahan yang telah matang dari pohon Quraniyah yang kekal. Allah berfirman : "Apakah kamu tidak memperhatikan, bahwa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diaturnya menjadi sumber-sumber air dibumi kemudian ditumbuhkan-Nya dengan air itu tanaman yang bermacam-macam warnanya, lalu menjadi kering lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan,kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Maka apakah orang-orang yanr dibukakan Allah hatinya untuk (menerima) agama Islam lalu ia mendapat cahaya dari Tuhannya (sama dengan orang yang membatu hatinya)? Maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka yang telah membatu h atinya untuk mengingat Allah. Merek aitu dalam kesesatan yang nyata. Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik (yaitu) Al-Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang, gemetear karenanya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka diwaktu mengingat Allah. Itulah petunjuk Allah, dengan kitab itu Dia menunjuki siapa yang dikehendaki-Nya.d an barangsiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada seorangpun pemberi petunjuk baginya". (Az-Zumar : 21-23)

Sumber asal: http://www.al-ikhwan.net

Wednesday, September 3, 2008

Sejarah Ringkas Kelab Iqra'

Motto
Wawasan bersama membina generasi al-Qur'an

Visi
Bersama membinca generasi al-Qur'an

Misi
Menjana mahasiswa muslim berteraskan al-Qur'an

Objektif Penubuhan Kelab
  • Membasmi buta Al-Quran di kalangan masyarakat kampus dan di sekitarnya.
  • Menanamkan minat untuk mencintai Al-Quran.
  • Melahirkan graduan Muslim yang berkualiti dan beridentiti.
  • Melahirkan insan teknokrat yang menjadikan al-Quran sebagai dasar etika kerja & asas kehidupan.
  • Melahirkan generasi pemangkin & penggerak yang dapat menterjemahkan petunjuk al-Quran.
Secara ringkasnya sejarah Kelab Iqra' adalah seperti di bawah:

1993:
  • Ustaz Ajmain bin Safar telah menjalankan sebuah kajian untuk mengenalpasti sejauh mana kelancaran bacaan al-Qur'an masyarakat; khusunya pelajar sekolah sekitar kawasan Johor Bahru dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
  • Hasil dari kajian, beliau mendapati tidak ramai yang mampu membaca dengan lancar.
  • Daripada 469 orang pelajar sekolah yang dikaji hanya 17% sahaja yang lancar membaca al-Qur'an.
  • Manakala daripada 100 orang pelajar UTM khususnya yang menetap di Kampung Cengal (kini Kolej Tun Razak, KTR), hanya 18 orang sahaja yang mampu membaca dengan baik.
  • Hasil dari kajian tersebut, maka tercetuslah ilham untuk menubuhkan sebuah Kelab Fasilitator Iqra' di KTR.
  • Seramai 27 orang fasilitator dilatih bagi menggerakkan kelab fasilitator ini.

1994:
  • Kertas kerja telah disiapkan untuk membawa Kelab Fasilitator Iqra' ke ruang amal yang lebih meluas.

1995:
  • Kertas kerja diluluskan dan lahirlah sebuah kelab yang baru dengan nama Kelab Iqra' (KI) yang bernaung di bawah Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) UTM.

Tuesday, September 2, 2008

Sedikit Perubahan

AlhamduliLlah, setelah bersusah-payah akhirnya dapat juga menukar template blog ini kepada yang lebih baik. Dengan harapan wajah yang baru memberi harapan dan azam yang baru sesuai dengan kata-kata Imam as-Syahid Hassan al-Banna:
Wahai saudaraku, anda sekelian bukan satu pertubuhan kebajikan, bukan parti politik, juga bukan suatu badan yang dibentuk untuk tujuan-tujuan terbatas. Anda sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya.
(Di Antara Hari Ini & Esok)

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin
Jika ada sebarang pertanyaan, masalah, aduan, cadangan, dan apa-apa sahaja yang perlu mendapatkan maklumat, kefahaman, tindakan atau apa-apa yang lanjut berkaitan dengan kami, bolehlah menghubungi kami secara terus di:
iqra[titik]utm[di]gmail[titik]com
Pihak kami akan mencuba membalas dengan sesegera mungkin. Segala kerjasama dan bantuan dari pihak anda amatlah kami hargai!